Pemandu Teksi Dilantik Sebagai Duta Kecil Perangi Jenayah Rasuah

Diterbitkan: Selasa, 13 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Lebih 30,000 pemandu teksi di seluruh negara akan dilantik sebagai duta kecil bagi memerangi jenayah rasuah secara berperingkat-peringkat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Beliau berkata, langkah itu merupakan inisiatif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melibatkan masyarakat dalam usaha memerangi rasuah dengan menimbulkan kesedaran dan tanggungjawab terhadap peranan mereka untuk menolak rasuah.

Katanya, buat permulaan, program tersebut melibatkan seramai 200 pemandu teksi di sekitar Lembah Kelang.

"(Langkah ini) Memang tepat kerana dua perkara, iaitu mereka merupakan penyampai maklumat kerana ketika membawa teksi mereka akan berbual dengan penumpang.

"Selain itu, mereka merupakan kumpulan terawal dan utama yang berinteraksi dengan mereka yang datang dari luar negara. Mereka boleh dianggap sebagai duta kecil. Sebagai duta, untuk menyampaikan maklumat, fakta mesti betul," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Perangi Rasuah Melalui Teksi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, Selasa.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohamed.

Nazri berkata, mereka akan diberi penerangan dan kaedah untuk mengelak, mencegah dan melaporkan rasuah. "Mereka boleh menjadi penyampai maklumat kepada SPRM berkaitan rasuah dan mereka boleh memainkan peranan sebagai penyampai maklumat kepada SPRM," katanya.

Katanya, SPRM sedia untuk mempertimbangkan insentif kepada maklumat yang membawa kepada pendakwaan di mahkamah.

Terdahulu, Nazri dalam ucapannya berkata kerajaan amat mengharapkan penglibatan semua pihak pelbagai peringkat dan bidang masing-masing dalam usaha memerangi rasuah.

"Pemandu teksi adalah orang yang paling rapat dengan masyarakat yang banyak mendapat maklumat daripada penumpang. Penglibatan mereka amat penting sebagai rakan yang boleh membantu SPRM dalam usaha membanteras rasuah," katanya.

Beliau berkata jika dibandingkan dengan negara-negara maju, tahap rasuah adalah amat rendah dan semua pihak memainkan peranan masing-masing bagi memastikan masyarakatnya berintegriti tinggi dan tidak mengamalkan rasuah.

"Mereka mengamalkan budaya menolak perbuatan rasuah," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan