Kerajaan Saran Kerjasama Erat IPT & Industri Bentuk Negara Inovasi

Diterbitkan: Selasa, 13 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (dua, kanan) melawat tapak ekspo di Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institut Pengajian Tinggi Antarabangsa (Pecipta 2011) yang berlangsung bermula hari ini hingga 15 September di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Turut kelihatan Naib Canselor Universiti Teknologi MARA Datuk Prof Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar (tiga, kiri). - Foto oleh DARRAN TAN
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (dua, kanan) melawat tapak ekspo di Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institut Pengajian Tinggi Antarabangsa (Pecipta 2011) yang berlangsung bermula hari ini hingga 15 September di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Turut kelihatan Naib Canselor Universiti Teknologi MARA Datuk Prof Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar (tiga, kiri). - Foto oleh DARRAN TAN

KUALA LUMPUR: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Selasa menyarankan jalinan kerjasama yang lebih erat dan dinamik di antara institusi pengajian tinggi (IPT) dan industri berkaitan dalam usaha kerajaan membentuk sebuah negara yang berasaskan inovasi dan berdaya cipta.

Beliau berkata, bagi mengeratkan jurang dan hubungan yang masih terbatas di antara IPTA dan industri, kedua-dua pihak berkenaan perlu lebih memahami dalam menjana sebuah ekonomi yang inovasi hasil produk dan penyelidikan yang berasaskan pembangunan dan penciptaan.

“Mungkin kerana ketiadaan hubungan yang rapat, peluang atau platform yang menyebabkan jurang antara industri dan IPT.

“Justeru, saya minta kedua-duanya menjalin kerjasama dalam bidang R&D dan inovasi agar mendapat manfaat bersama untuk pembangunan negara,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis perasmian Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institut Pengajian Tinggi Antarabangsa (Pecipta 2011) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini.

Khaled turut menggesa IPT agar menumpukan pada pembangunan bidang penyelidikan gunaan (applied research) yang berasaskan pembangunan agar dapat memenuhi kehendak industri dalam pembentukan negara yang inovasi.

“Memang banyak penyelidikan yang dilakukan oleh universiti tetapi lebih menjurus pada penyelidikan asas (fundamental research) dan bukan penyelidikan gunaan yang penting dalam pembentukan negara inovasi.

“Universiti mengeluarkan penyelidikan asas sedangkan industri mahukan penyelidikan gunaan. Atas sebab itu, universiti perlu membangunkan penyelidikan tersebut agar relevan dengan permintaan industri dan membangunkan negara inovasi,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Khaled turut menggesa industri kecil dan sederhana (IKS) agar menjalin kerjasama dengan pihak universiti untuk membangunkan produk dan berkongsi manfaat untuk perkembangan inovasi negara.

“IKS perlu bersaing dan produktif dalam bersaing dengan produk-produk syarikat antarabangsa dan luar. Tanpa R&D yang kukuh mereka tidak berjaya untuk berkembang.

“Sebab itu, IKS dan universiti perlu bekerjasama dalam pembangunan R&D produk dan inovasi tempatan,” katanya.

Pecipta 2011 merupakan pertandingan reka cipta dan inovasi kreatif bertaraf antarabangsa anjuran bersama KPT dan IPTA pada setiap dua tahun sejak 2001.

Selain pameran hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) universiti dan industri berkaitan yang meliputi bidang kesihatan dan farmasi, kujuruteraan, makanan dan minuman, teknologi hijau dan banyak lagi, ekspo itu turut memperkenalkan kategori Pencipta Muda (Junior Inventor) yang mempamerkan hasil kreativiti para pelajar sekolah dalam bidang penciptaan dan teknologi.

Pada tahun ini, Pecipta 2011 yang bertemakan Menyemarak Inovasi Bersama Model Baru Ekonomi dianjurkan oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) dari 13 hingga 15 September ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan