Jumlah Mangsa Banjir Di Perlis Yang Dipindahkan Meningkat - Berita Semasa | mStar

Jumlah Mangsa Banjir Di Perlis Yang Dipindahkan Meningkat

Diterbitkan: Selasa, 13 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan di Perlis terus meningkat malam ini kepada 694, daripada 178 keluarga.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perlis, berkata, mereka ditempatkan di 14 buah pusat pemindahan dan sebahagian besar mereka adalah mangsa-mangsa di kawasan Kangar.

Menurutnya, walaupun cuaca cerah hari ini namun paras air di Kangar telah meningkat menyebabkan 384 mangsa daripada 90 keluarga dipindahkan ke sembilan buat pusat pemindahan sehingga pukul 8 malam ini.

Bagi kawasan Arau sebanyak 272 mangsa daripada 77 keluarga ditempatkan di empat buah pusat pemindahan manakala di Padang Besar banjir mulai surut dengan beberapa pusat pemindahan telah ditutup.

Pada masa ini, hanya 38 mangsa daripada sebelas keluarga masih berada di sebuah pusat pemindahan banjir di Padang Besar.

Sementara itu, sebanyak 4,594 calon di negeri ini akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) seperti biasa selama tiga hari mulai esok di 75 pusat peperiksaan meskipun banjir melanda.

Pengarah Pelajaran Negeri, Don Kasa berkata pihaknya sudah merangka kaedah untuk membolehkan calon-calon menduduki ujian itu termasuk menyediakan kenderaan bagi membawa mereka ke sekolah.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan