Universiti Diminta Beri Kredit Kepada Pelajar Sertai Aktiviti Berasaskan ETP dan GTP

Diterbitkan: Isnin, 12 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SERDANG: Universiti di negara ini diminta memberikan kredit pengajian kepada pelajar yang terlibat dalam aktiviti berasaskan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata langkah itu bagi menggalakkan penuntut menyertai aktiviti terbabit sekali gus membantu kerajaan menjayakan matlamat GTP dan ETP, selain membentuk kemahiran insaniah.

"Graduan yang perlu kita lahirkan pada zaman ini bukan saja bergantung kepada penguasaan ilmu dan kemahiran, tetapi sama penting adalah kemahiran insaniah yang memerlukan penyertaan aktif pelajar dalam program ini.

"...terserah kepada mereka untuk fikir program apa yang dia nak buat dan pihak universiti akan membantu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program 'Youth Defined: Shape Our Future', di sini, Isnin.

Katanya pelajar universiti merupakan ejen pembangunan yang baik dan mampu membawa perubahan dalam masyarakat selain mempunyai rangkaian perhubungan yang besar.

"Contohnya bagi mengatasi masalah tak ramai lelaki yang nak ke universiti.

Kita ada 1.2 juta pelajar dan jika mereka ini beri panduan serta galakan kepada anak muda di kampung mereka setiap kali balik bercuti, budak-budak muda ini dapat melihat universiti sebagai destinasi mereka," katanya.

Selain itu, Mohamed Khaled berkata kementeriannya sedang merangka beberapa aktiviti bagi mengatasi gejala sosial seperti dadah termasuk yang dilakukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang menghantar penuntutnya ke kawasan 'panas'. Bagi meningkatkan minat pelajar terhadap subjek sains dan matematik pula, Mohamed Khaled berkata program itu sedang dibangunkan Universiti Perguruan Sultan Idris. Mengenai program 'Youth Defined: Shape Our Future' itu, Mohamed Khaled berkata selain memberi penerangan tentang GTP dan ETP kepada pelajar universiti, ia juga akan menggembleng idea mereka bagi membantu menjayakannya.

Program anjuran Youth Trust Foundation (MyHarapan) dan Kementerian Pengajian Tinggi itu akan diadakan di 10 lokasi sehingga akhir Oktober, dan idea pelajar mengenai GTP serta ETP akan didokumenkan untuk diserah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengulas cadangan melanjutkan usia persaraan pensyarah, beliau berkata amnya kementerian itu mengikuti amalan Jabatan Perkhidmatan Awam, namun setiap universiti mempunyai kebebasan untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan pensyarah secara kontrak.

Katanya sebagai kilang yang melahirkan modal insan untuk pembangunan negara, universiti memerlukan tenaga pengajar terbaik dan mereka lebih tahu siapa yang patut dilanjutkan perkhidmatannya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan