NGO Mohon Menghadap Tuanku Mizan Untuk Serah Memorandum Isu Hina Agama

Diterbitkan: Isnin, 12 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebuah badan bukan kerajaan (NG0) pada Isnin memohon untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi menyerahkan memorandum berhubung isu murtad dan memesongkan akidah umat Islam di laman sosial.

Ketua Koordinator Sekretariat Jingga 13, Fariz Musa, menyerahkan surat permohonan itu kepada Pegawai Pentadbiran/Keselamatan Polis Istana Negara ASP Shaharuddin Yunus di pintu masuk Istana Negara di sini pada 11.05 pagi tadi.

Beliau berkata pemilik laman sosial itu turut mengeluarkan kata-kata kesat dengan menghina, memaki dan mencerca Seri Paduka Baginda yang merupakan Ketua Agama Islam.

"Kes-kes murtad yang semakin meningkat serta tindakan pemesongan akidah, penyelewengan fakta dan penghinaan terhadap Islam yang sangat bahaya, memerlukan campur tangan secara serius oleh Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Agama Islam," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat itu yang turut dihadiri kira-kira 20 anggota Jingga 13.

Fariz berkata pihaknya meminta Seri Paduka Baginda mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap individu yang bertanggungjawab demi menyelamatkan akidah umat Islam serta mengangkat maruah dan kesucian Islam yang merupakan agama rasmi negara.

"Setakat ini kami berjaya mengumpul sebanyak 5,000 petisyen secara online yang membantah perkara itu. Kami akan mengumpul lebih banyak lagi sebelum diserahkan bersama-sama memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan