Jakim Kerjasama Dengan JAIS Pantau Ajaran Hassan Jonit

Diterbitkan: Isnin, 12 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

YAN: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi memantau serta membanteras Ajaran Ilmu Hakikat Hassan Jonit yang dipercayai kini kembali aktif di negeri itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata Jakim akan memantau perkembangan ajaran sesat itu bagi membolehkan tindakan secara kolektif dapat diambil bagi menyekat aktiviti itu dari merebak ke seluruh negara. Jakim akan setiasa berganding bahu bersama dengan Majlis Agama Negeri di seluruh negara bagi membanteras segala ajaran sesat yang berkembang di negara ini, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Potensi Kanak-kanak Tabika Kemas Peringkat Derah Yan di Dewan Serbaguna Guar Chempedak, dekat sini, Ahad.

Beliau mengulas laporan media mengenai Ajaran Ilmu Hakikat Hassan Jonit yang disahkan menyimpang daripada ajaran agama Islam yang sebenar oleh Jawatankuasa Perunding Hukum Fatwa Negeri Selangor pada tahun 1998 dikesan kembali aktif.

Laporan berkenaan mengatakan ajaran sesat itu telah dikembangkan semula oleh anggota keluarga salah seorang pengikut kanan Hassan yang meninggal dunia beberapa tahun lalu dan kini markas utama kumpulan itu terletak di Kampung Melayu, Batu Arang Rawang yang diketuai menantu kepada orang kanan Hassan terbabit.

Jamil Khir berkata berdasarkan maklumat awal yang diterimanya daripada Jais, terdapat tanda menunjukkan bahawa ada dua kelompok ingin menghidupkan kembali ajaran berkenaan dan Jais sedang giat menjalankan siasatan terperinci. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan