Sambutan Luar Biasa Rumah Terbuka Bukti Hubungan Harmoni Pemimpin, Rakyat: Rais Yatim

Diterbitkan: Ahad, 11 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUKIT MERTAJAM: Sambutan luar biasa penduduk tempatan pada majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidil Fitri-Merdeka 2011 di Permatang Pauh membuktikan hubungan antara pemimpin dan rakyat di negara ini sangat harmoni.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata semangat perpaduan serta keharmonian yang ditunjukkan penduduk tempatan pada majlis itu secara langsung dapat membantu kerajaan dan rakyat memperoleh kehidupan lebih sejahtera.

"Pelbagai kaum telah menghulurkan tangan dan bersama-sama menjayakan sambutan ini, ia mencerminkan sesuatu yang positif di bawah gagasan 1Malaysia dan transformasi kerajaan," katanya kepada pemberita selepas majlis anjuran KPKK di Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Perahu di sini Ahad, yang dihadiri kira-kira 25,000 orang seawal 8 pagi.

Pelancaran majlis itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang tiba pada kira-kira 12 tengah hari dengan menaiki teksi, dan disambut paluan gendang pelbagai kaum serta komuniti 1Malaysia oleh kumpulan gendang tentera dan pelajar sekolah.

Pada majlis itu, pengunjung disajikan nasi beriani daging, lemang, ketupat palas dan makanan serta kuih tradisi, selain dihiburkan artis terkenal tanah air seperti Datuk Ahmad Jais, Datuk M. Nasir, Uji Rashid, Hail Amir dan persembahan boria serta watak Upin dan Ipin. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan