Rakyat Malaysia Digesa Majukan Diri Untuk Berdaya Saing - Mustapa

Diterbitkan: Sabtu, 10 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LONDON: Selepas 54 tahun merdeka dan mengecapi pelbagai manfaat daripada keharmonian kaum, kestabilan politik dan pertumbuhan pesat ekonomi, rakyat Malaysia digesa memajukan diri dengan lebih pantas untuk menjadikan negara lebih berdaya saing di peringkat global.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sekiranya rakyat Malaysia dapat memanfaatkan kejayaan mereka di masa lalu, mengatasi pelbagai cabaran semasa dan cemerlang dalam dunia baru, mereka akan dapat membina masa depan lebih baik untuk negara.

Muhyiddin berkata apa yang perlu dilakukan ialah memastikan setiap rakyat Malaysia, di dalam atau di luar negara, bersama-sama dalam perjalanan negara untuk mencapai masa depan lebih baik di mana setiap rakyat mempunyai peranan penting untuk dimainkan.

"Sama ada anda pelajar Malaysia yang sedang belajar di luar negara atau rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, setiap orang boleh menyumbang kepada transformasi yang sedang pesat berkembang di negara kita pada masa ini. "Kami perlukan idea anda, kreativiti anda dan bakat anda untuk memajukan negara. Pada masa yang sama, kita perlu meneruskan usaha kita untuk memperkukuhkan perpaduan nasional," katanya semasa berucap sebelum mengadakan dialog dengan masyarakat dan pelajar Malaysia di sini pada Jumaat.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Zakaria Sulong bertindak sebagai moderator pada forum bertajuk "Kemerdekaan 54 Tahun, Membina Satu Bangsa, Berkongsi Satu Matlamat" itu.

Pengarah Institut Pengajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Datuk Dr Mahani Zainal Abidin merupakan anggota panelnya.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran tiba di sini pada Khamis lepas untuk melakukan lawatan kerja empat hari ke United Kingdom dengan diiringi isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Timbalan Perdana Menteri berkata selain bergerak lebih pantas untuk memajukan diri, perpaduan negara merupakan resipi paling penting dalam kejayaan Malaysia sejak 54 tahun lepas, satu faktor yang menurutnya akan "sentiasa amat penting kepada kejayaan negara di masa depan."

"Dalam semangat 1Malaysia, kita perlu buktikan bahawa kita mampu menjadikan perpaduan negara bukan sahaja satu wadah dalam mencapai kemajuan tetapi juga satu wadah yang sedang pantas menuju ke destinasi akhir di mana semua rakyat Malaysia menganggap Malaysia sebagai tanah air mereka dan berkongsi takdir yang sama". Sebagai sebuah negara yang rakyatnya terdiri daripada berbilang kaum, beliau berkata kisah kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara bergantung kepada tiga teras perpaduan, politik dan kemakmuran ekonomi.

"Sudah tentu tiada siapa boleh berkata bahawa kita telah mencapai perpaduan nasional mutlak kerana perpaduan nasional merupakan sesuatu yang dipupuk secara berterusan. Ia merupakan satu aspirasi yang memastikan kita bergerak dalam hala tuju yang betul untuk memperkukuhkan lagi ikatan kenegaraan.

"Tetapi pada masa yang sama, tiada siapa boleh menafikan bahawa kita sedang menikmati hasil daripada perpaduan.

Disebalik perdebatan mengenai isu kaum dan agama di negara kita, yang kadang kala dilihat agak memecahbelahkan, semua kaum rakyat Malaysia hidup bersama-sama secara aman," katanya.

Muhyiddin berkata majoriti rakyat Malaysia menghargai nilai keamanan dan dengan itu menolak mana-mana cubaan untuk memecahbelahkan dan menganggu-gugat kestabilan rakyat. "Kita tahu bahawa tanpa perpaduan nasional, tidak akan wujud kestabilan politik dan dengan itu adalah mustahil untuk kerajaan menumpukan usaha untuk membangunkan negara, menguruskan ekonomi dan berkhidmat kepada rakyat.

"Pengalaman kita pada dekad-dekad lepas menunjukkan bahawa malahan keupayaan untuk memastikan kemakmuran ekonomi turut bergantung kepada kejayaan kita dalam menjamin keamanan dan kestabilan," katanya. -BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan