Kimma Cadang Restoran Mamak Dilengkapi Pengawal Keselamatan

Diterbitkan: Sabtu, 10 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Presiden Kongres Indian Muslim Malaysia (KIMMA) Senator Datuk Syed Ibrahim Kader menyarankan restoran mamak dilengkapi dengan pengawal keselamatan bersenjata berikutan kejadian rompakan di beberapa kedai mamak baru-baru ini.

Katanya untuk tujuan itu satu mesyuarat di antara pihak polis dan pengusaha restoran terbabit akan diadakan dalam tempoh terdekat untuk mencari pendekatan terbaik bagi mengatasi masalah itu.

"Antara cadangan itu ialah kemungkinan rangkaian restoran mamak ini dipendekkan waktu operasinya bagi kawasan yang berisiko berlaku rompakan atau pun dengan menempatkan pengawal keselamatan bersenjata," katanya kepada pemberita di majlis rumah terbuka Aidilfitri beliau di sini, malam Jumaat.

Katanya cadangan itu dirasakan sesuai untuk dilaksanakan dan beliau akan membawa cadangan itu pada mesyuarat dengan pihak polis.

"Menggunakan khidmat pengawal keselamatan ini adalah lebih baik manakala upahnya pun tidak seberapa berbanding risiko tinggi yang dihadapi pengusaha restoran ini jika mereka disamun," katanya.

Pada 28 Ogos lepas, sekumpulan lelaki merompak sebuah restoran mamak di Seksyen 15, Shah Alam dan turut melarikan barangan berharga milik pelanggan yang sedang menjamu selera dan tidak sampai dua minggu selepas itu, kumpulan yang sama dipercayai merompak sebuah lagi restoran mamak di Seksyen 24 pula dan beberapa pelanggan turut menjadi mangsa. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan