Tauliah Ajar Agama Untuk Lindungi Kesahihan Ilmu Islam - JAKIM

Diterbitkan: Jumaat, 9 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penceramah perlu mempunyai tauliah bagi melindungi kesahihan ilmu Islam yang disampaikan, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Othman Mustapha.

Beliau berkata, dalam isu di Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bertanggungjawab untuk memastikan penceramah mempunyai tauliah sebelum menyampaikan ilmu agama kepada umat Islam di negeri itu.

"Ilmu agama yang disampaikan oleh penceramah yang tidak bertauliah akan menimbulkan keresahan dan kekeliruan di kalangan umat Islam. Disebabkan itu Jais menetapkan syarat penceramah perlu mendapat tauliah," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau diminta mengulas mengenai isu Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad yang dikenakan tindakan undang-undang oleh JAIS selepas didapati menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah di sebuah surau di Kapar, Klang.

Mengulas lanjut, Othman berkata penceramah agama yang sering mendapat kepercayaan orang ramai tidak harus disalahgunakan oleh pihak yang mempunyai kepentingan selain mengajak umat Islam mentaati ajaran agama.

"Penceramah seharusnya mempunyai perwatakan yang menetapi ciri-ciri sebagai pendakwah yang boleh dipercayai dan menjadi contoh ikutan," katanya.

Beliau berkata seperti undang-undang Islam yang diperuntukkan di Selangor, Wilayah Persekutuan juga mensyaratkan penceramah mendapatkan tauliah menerusi peruntukan Kaedah-kaedah Pentadbiran Undang-undang Islam Wilayah Persekutuan (Tauliah mengajar bagi undang-undang Islam 2006).

Malah, kata beliau tauliah itu boleh dibatalkan oleh jawatankuasa jika penceramah melanggar syarat seperti menyentuh isu politik atau mengajar ajaran yang bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

"Kesalahan mengajar tanpa tauliah, Seksyen 11 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan memperuntukkan denda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan