"Tak Wujud Komplot Jatuhkan MB, Majlis Dipengerusikan Exco Negeri" - MAIS

Diterbitkan: Jumaat, 9 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa pada Jumaat menegaskan tidak wujud sebarang komplot untuk menjatuhkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Sebaliknya yang kedengaran ialah mereka di sekeliling Datuk Menteri Besar Selangor yang cuba menjatuhkan beliau (Abdul Khalid)," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Mohamad Adzib berkata demikian bagi menjawab segala dakwaan kononnya wujud konspirasi politik bagi menjatuhkan Menteri Besar Selangor semasa pertemuan MAIS dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam sebagaimana yang didakwa Anggota Parlimen Shah Alam dari PAS, Khalid Samad.

Pengerusi MAIS itu menjelaskan, MAIS mengadakan perjumpaan dengan 45 buah NGO Islam pada 5 Ogos lepas bagi memberi penerangan dan penjelasan berhubung isu pemeriksaan Gereja Methodist Damansara Utama oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan menegaskan ia tiada kena mengena dengan dakwaan bahawa perjumpaan itu bertujuan menjatuhkan Khalid.

Mohamad Adzib berkata, perjumpaan dengan NGO Islam itu dipengerusikan Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali dan dihadiri beliau selaku Pengerusi MAIS, Pengarah JAIS, Marzuki Hussin dan Penolong Penasihat Undang-undang Negeri.

Agenda perjumpaan itu, jelasnya, antara lain ialah ucapan Dr Hasan sendiri, taklimat dan tayangan video oleh Bahagian Penguatkuasaan JAIS serta sesi soal jawab.

"Tohmahan yang dilemparkan oleh YB Khalid Samad tersebut amat tidak bertanggungjawab dan bertujuan mengelirukan masyarakat Islam terutamanya di negeri Selangor," kata Mohamad Adzib lagi.

Beliau berkata, dalam hal ini, MAIS akan merujuk kepada peguam untuk menentukan sama ada satu tindakan undang-undang boleh diambil terhadap Anggota Parlimen PAS itu berhubung segala tohmahan yang dilemparkannya.

Mohamad Adzib dalam kenyataan itu turut berkata, institusi-institusi Islam di Selangor seperti JAIS, Lembaga Zakat Selangor, masjid dan surau tidak boleh digunakan bagi tujuan politik oleh sesuatu kumpulan, individu atau pihak tertentu.

"Inilah yang berlaku selama ini di mana pihak atau parti politik tertentu menjadikan institusi-institusi agama sebagai tapak menyebarkan agenda politik masing-masing yang boleh mencemarkan kredibiliti institusi tersebut termasuklah kesucian rumah ibadat," katanya.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan