Mat Sabu Wajar Berdebat Dengan KJ - Ahmad Maslan - Berita Semasa | mStar

Mat Sabu Wajar Berdebat Dengan KJ - Ahmad Maslan

Diterbitkan: Jumaat, 9 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu sebaiknya berdebat dengan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengenai isu Bukit Kepong.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata debat itu sebaiknya antara mereka berdua, kerana ia juga merupakan cabaran kerajaan PAS Kelantan pada peringkat awalnya.

"Atau lebih elok (debat) dengan pakar sejarah seperti Prof Datuk Dr Ramlah Adam atau Prof Khoo Kay Kim, bukan berdebat dengan TPM (Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata Mat Sabu perlu menyahut cabaran Khairy untuk berdebat dan ditambah ruang debat itu dengan pakar sejarah yang sanggup berdebat mengenai isu itu.

Katanya pakar sejarah wajar diberi peluang membuat penjelasan kerana sejarah sememangnya tidak berbohong sementara tafsiran yang dangkal adalah membahayakan.

"Jika ada pakar sejarah yang ingin berdebat dengan Mat Sabu saya akan memberikan sokongan. Kalau tidak debat pun mungkin berdiskusi umum atau berforum terbuka.

"Pimpinan PAS memang suka berdebat kerana mereka tidak ada kerja lain selain berceramah, itulah kepakaran mereka.

Kepakaran pimpinan kerajaan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak adalah berkhidmat untuk rakyat," katanya.

Mengulas mengenai bukti daripada buku Pengukir Nama Johor yang "dijaja" oleh Mat Sabu, Ahmad Maslan berkata bukti itu adalah lemah kerana kajian yang dibuat tidak tepat. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan