K'jaan Buat Keputusan Betul Majukan Sektor Pengajian Tinggi - Berita Semasa | mStar

K'jaan Buat Keputusan Betul Majukan Sektor Pengajian Tinggi

Diterbitkan: Jumaat, 9 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan membuat keputusan yang betul dalam meliberalisasi sektor pendidikan tinggi swasta sejak 1996 yang telah membolehkan lebih ramai penuntut melanjutkan pengajian mereka di dalam negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta yang digubal pada 1996 telah menggalakkan sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan dan institusi pengajian tinggi luar negara menubuhkan universiti swasta dan cawangan tempatan universiti luar negara serta menjalin program berkembar di negara ini.

"Semasa saya menjadi Menteri Pendidikan dari 1995 hingga 1999, kerajaan membuat keputusan meliberalisasi sektor pengajian tinggi untuk menyediakan lebih banyak tempatan bagi anak-anak kita di dalam negara.

"Mengimbau kembali keputusan itu, saya ingin menyatakan bahawa ia adalah satu keputusan yang tepat dan menjadi popular dalam menyediakan lebih banyak tempat kepada rakyat Malaysia kerana institusi tempatan tidak dapat menampung semua pelajar yang layak dan Malaysia tidak mampu menampung kos pengajian di sebarang laaut," katanya pada Majlis Konvokesyen ke-13 Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di Wisma MCA di sini.

Turut hadir Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Hou Kok Chung dan Presiden UTAR Datuk Dr Chuah Hean Teik. UTAR adalah institusi pengajian tinggi milik MCA.

Najib berkata, kesediaan Malaysia melabur dalam membangunkan modal insan telah memberi manfaat kepada negara.

Katanya, hanya dalam satu generasi, Malaysia berjaya melalui transformasi daripada sebuah ekonomi berasaskan pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah ekonomi perindustrian moden berpendapatan sederhana.

"Modal insan menjadi paksi kepada ekonomi berpendapatan tinggi berinovasi dan produktif ini.

"Tidak ada ekonomi yang boleh berjaya tanpa ada bakat berkemahiran tinggi yang mampu bergerak seiring dengan perubahan ekonomi, yang didasarkan kepada membentuk, memajukan dan menggunakan ilmu," kata Perdana Menteri.

Beliau juga mengingatkan graduan UTAR bahawa peranan mereka sekarang adalah untuk menyumbang ke arah menjadi Malaysia lebih maju.

Dan Najib turut menegaskan bahawa tamat pengajian bukanlah noktah kepada usaha dan pencapaian, sebaliknya permulaan sebuah perjalanan yang mana banyak lagi pencapaian yang harus dikecapi.

Najib berkata, dalam kesibukan membina kerjaya masing-masing, mereka tidak harus lupa jasa masyarakat dan keluarga serta tanggungjawab kepada negara.

Konvokesyen UTAR kali ini melibatkan 2,773 graduan.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan