Isu Pejuang Kemerdekaan: Dolak Dalik PAS Makan Diri, Hakis Sokongan Pengundi

Diterbitkan: Jumaat, 9 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Selepas teruk terpukul barulah Pas berani tampil membuat kenyataan berhubung dakwaan timbalan presidennya, Mohamad Sabu, mengaitkan seorang komunis dengan usaha memperjuangkan kemerdekaan negara.

Lebih 500 laporan polis dibuat terhadap Mohamad, yang lebih dikenali Mat Sabu, nyata memberi tamparan kepada Pas, sehingga memaksa setiausaha agungnya Datuk Mustafa Ali bergelut mempertahankan kenyataan itu.

Jika diamati, kenyataan Mustafa bahawa perjuangan kemerdekaan bukan bermula dengan Umno, yang ditubuhkan pada 1946 tetapi sebelum itu lagi seperti di zaman Datuk Maharajalela, Datuk Bahaman, Tok Janggut, Dol Said dan Abdul Rahman Limbong, hanyalah satu helah, yang sudah diketahui umum.

Tidak ada siapa yang pernah menafikan perkara itu, malah Umno sendiri tidak pernah menafikan perjuangan tokoh-tokoh yang mahu menghalau British dari Tanah Melayu itu pada ketika dahulu.

Umpamanya, siaran TV Pendidikan pada awal dan pertengahan 1980-an dalam subjek Sejarah, menyiarkan lakonan semula bagaimana tokoh-tokoh ini menentang Inggeris, yang sekaligus menolak tanggapan bahawa kerajaan mengetepikan langsung perjuangan mereka itu.

Pas harus sedar, tindak tanduk, gelagat dan kenyataan kontroversi pemimpinannya mendewakan komunis telah mengguris hati banyak pihak terutama bekas anggota pasukan keselamatan dan kaum keluarga yang terbabit dengan tragedi Bukit Kepong, 61 tahun lepas serta orang Melayu dan Islam di negara ini secara amnya.

Kenapa Mohamad Sabu mengeluarkan kenyataan cuba meletakkan seorang komunis sebagai hero? Kenapa kenyataan itu dibuat di bulan Kemerdekaan? Apakah seorang seperti Mohamad Sabu mampu mengabui mata rakyat untuk menulis semula sejarah?

Banyak lagi persoalan bermain di fikiran rakyat. Apakah Pas tidak senang dengan semangat rakyat yang berkobar-kobar menyambut Hari Merdeka? Atau adakah Pas takut semangat rakyat itu akan diterjemah menjadi undi untuk Umno dan Barisan Nasional?

Selepas mengubah dasarnya daripada memperjuangkan Negara Islam kepada Negara Berkebajikan, Pas kali ini mencari 'pasal' pula dengan memperjuangkan seorang Mat Indera, sebagai hero.

Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman menegaskan bahawa Mat Indera adalah komunis dan seperti tercatat dalam sejarah negara, wira sebenar dalam tragedi Bukit Kepong ialah 25 orang anggota keselamatan dan keluarga yang terbunuh ketika mempertahankan balai di situ daripada ditawan komunis.

Isu-isu tidak masuk akal yang dimainkan oleh pemimpin Pas yang mencari publisiti murahan, tidak dapat dinafikan telah mencalar-balarkan imej parti itu yang selama ini mendabik dada memperjuangkan Islam dan kepentingan orang Melayu.

Presiden Persatuan Bekas Tentera Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata bahawa pada tahun 1989 satu perjanjian damai dibuat antaa kerajaan dan komunis iaitu mereka bersetuju meletak senjata tetapi ideologi komunis masih dihayati pihak tertentu. "Ada pihak tertentu di kalangan bukan Melayu menggunakan orang Melayu melalui ahli politik untuk sebarkan ideologi komunis. Mat Sabu menjadi mangsa untuk memainkan peranan tersebut dan sebagai pemimpin dia tidak sepatutnya terikut-ikut dengan kehendak orang lain.

"Kita juga dapat lihat bahawa perwakilan Pas tidak bijak milih peimimpin. Mat Sabu tidak layak untuk jadi timbalan presiden dan dia bukan ulama tetapi hanya kaki buat bising," katanya. Pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Che Hamdan Mohd Razali berkata isu itu tentunya memberikan banyak impak negatif kepada Pas kerana perkara itu termasuk ideologi komunis dan siapa yang memperjuangkan kemerdekaan secara akademiknya sudah tercatat utuh dalam sejarah.

"Kita lihat sekarang baru dipertikai perkara ini. Mengenai pengundi atas pagar pula saya percaya pengundi Melayu akan berasa tidak puas hati dan akan menjauhkan diri dari Pas.

"Kalau pengundi Cina, saya rasa mereka sekarang berminat untuk membuat kajian lebih mengenai perjuangan kemerdekaan itu sendiri termasuk perjuangan semasa pemerintahan Jepun dahulu. Mereka mencari buku-buku yang terbabit dan menyifatkan fakta perjuangan menentang penjajah ini perlu diperluaskan," katanya.

Che Hamdan berkata pengundi Melayu atas pagar akan melihat dalam Pas sendiri ada kekalutan menangani isu itu.

Mungkin pemimpin politik dalam usaha mencari sokongan dengan apa sekali pun kenyataan yang dibuat, perlu mengingatkan diri dengan pepatah Melayu yang menyebut "menang sorak, kampung tergadai" dan "kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa". -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan