Taib Mahu PBT Di Sarawak Ditambah Baik

Diterbitkan: Khamis, 8 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Struktur dan organiasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sarawak perlu ditambah baik semula untuk memastikan ia kekal relevan dalam memberikan perkhimatan kepada rakyat, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud di sini Khamis.

Taib berkata beliau berharap usaha tersebut dapat dilaksanakan tahun hadapan dengan memberi tumpuan kepada beberapa bahagian dalam PBT yang masih lagi mempunyai beberapa kelemahan dari segi fungsinya.

"Ketika ini memang diakui PBT melaksanakan tanggungjawab yang baik dalam menyediakan jalan, pengurusan sisa dan banyak lagi perkara namun ia belum cukup untuk menghadapi kehendak masa depan rakyat yang akan turut berubah," katanya ketika berucap pada majlis ramah tamah Aidilfitri Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini Khamis.

Menurutnya pihak kepimpinan di peringkat PBT termasuk kaunselor yang telah dilantik juga perlu memahami kehendak serta keperluan rakyat yang inginkan suasana kehidupan selesa dan selamat.

Taib berkata bandar raya Kuching bakal menyaksikan pertambahan jumlah penduduk daripada 600,000 ketika ini kepada satu juta menjelang tahun 2020 dan pihak PBT iaitu MKBS dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) perlu lebih bersedia memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Kira-kira 1,000 kakitangan MKBS hadir pada majlis ramah tamah Aidilfitri yang berlangsung di perkarangan bangunan MBKS hari ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan