Model Myvi Baru Catat Jualan 18,000 Unit - Berita Semasa | mStar

Model Myvi Baru Catat Jualan 18,000 Unit

Diterbitkan: Khamis, 8 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

RAWANG: Model Myvi terbaharu Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua) telah mencatatkan jualan 18,000 kenderaan dari 16 Jun hingga semalam, kata Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh.

Katanya permintaan mendapatkan model itu masih kukuh dengan siri "Elegance" terus menerima bilangan tempahan tertinggi dari para pelanggan.

"Sehingga ini, kami telah menerima 34,000 tempahan dengan 18,000 kereta telah diserahkan. Kami menjangka menyerahkan baki 16,000 lagi dalam tempoh dua bulan akan datang," katanya kepada pemberita selepas majlis menaikkan "jalur gemilang" di sini Khamis.

Majlis itu, yang disertai perbarisan mini di ibu pejabatnya, adalah bagi Hari Kemerdekaan ke-54 pada 31 Ogos dan Hari Malaysia tidak lama lagi.

Aminar Rashid juga berkata Perodua kini berada pada landasan untuk mencapai sasaran jualan tahunannya sebanyak 190,000 kenderaan tahun ini, selepas menjual kira-kira 115,000 sehingga ini. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan