Jerebu Dikhuatiri Semakin Teruk

Diterbitkan: Khamis, 8 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan di semenanjung dan Sarawak kini teruk dilanda jerebu dan situasi ini akan bertambah 'parah' memandangkan hujan dijangka tidak turun selama lima hari berturut-turut.

Ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia mengenalpasti kawasan yang akan terjejas teruk adalah Arau (Perlis), Kota Setar (Kedah), Seberang Perai Utara (Pulau Pinang), Kinta dan Manjung (Perak), Kepong, Klang, Petaling dan Sabak Bernam (Selangor), Batu Pahat (Johor) dan Miri (Sarawak).

Menurut kenyataan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang dikeluarkan malam ini, keadaan berjerebu yang melanda sekitar kawasan Lembah Klang, negeri-negeri di utara Semenanjung, Melaka, Negeri Sembilan dan beberapa daerah di Pahang sejak awal pagi Rabu adalah disebabkan oleh pencemaran jerebu merentas sempadan akibat kebakaran yang berlaku di Sumatera, Indonesia.

Sehubungan dengan itu, jabatan berkenaan menasihati orang ramai agar bekerjasama dalam tempoh getir ini dengan tidak melakukan pembakaran terbuka.

Sebaliknya, orang ramai telah diminta bekerjasama dengan memadamkan kebakaran kecil serta melaporkan aktiviti pembakaran terbuka kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 atau JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 jika terlihat sebarang aktiviti yang menyumbang kepada pertambahan jerebu.

JAS bagaimanapun mendapati, kualiti udara di kebanyakan tempat di seluruh negara pada Rabu mencatat paras sederhana pada sebelah pagi.

Sehingga 11 pagi ini, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di 14 kawasan mencatatkan paras baik dan 38 mencatatkan IPU sederhana.

Antara kawasan yang mencatatkan IPU sederhana ialah Shah Alam, Selangor (84), SK Jalan Pegoh, Ipoh, Perak (83) dan Pelabuhan Klang (81) manakala kawasan yang mempunyai IPU sihat, Sarikei, Sarawak (30), Sri Aman, Sarawak (31) dan Kuching, Sarawak, (32).

Dalam pada itu, jumlah peningkatan mereka yang menghidapi sakit tekak dan mata kelihatan meningkat sejak beberapa hari yang lalu, kemungkinan besarnya disumbangkan oleh suasana berjerebu dan tidak sihat ini.

Sebuah klinik swasta yang ditinjau oleh mStar Online di sini mendapati, terdapatnya peningkatan kepada jumlah pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan sakit tekak dan mata.

"Saya datang untuk memperolehi ubat sakit tekak kerana sejak dua hari yang lalu, saya banyak menghabiskan masa dan aktiviti di luar pejabat kerana urusan kerja...saya suspek jerebu sebagai punca," kata Ahmad Rashid Abdullah ketika ditemui mStar di luar sebuah klinik swasta, Rabu.

Seorang lagi pesakit mengadu sakit mata dan datang untuk membuat pemeriksaan kerana terdedah kepada jerebu.

Kata Michell Lin, dia tidak mempunyai banyak pilihan kerana tugasnya menuntut untuk dia bergerak keluar dari pejabat boleh dikatakan setiap pagi sebelum kembali ke pejabat pada sebelah tengah hari.

"Tetapi sejak Lembah Klang dilanda jerebu, mata saya menjadi gatal dan merah," ujarnya.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan