Status OKU Tidak Halang Lanjut Pengajian Di UPM

Diterbitkan: Rabu, 7 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Prof. Dr. Mohd Fauzi (berdiri dua dari kanan) beramah mesra dengan dua pelajar OKU, M. Hanif (duduk dua dari kiri) dan Suhazli (duduk tiga dari kanan) yang mendaftar masuk ke UPM bagi sesi akademik 2011/2012.
Prof. Dr. Mohd Fauzi (berdiri dua dari kanan) beramah mesra dengan dua pelajar OKU, M. Hanif (duduk dua dari kiri) dan Suhazli (duduk tiga dari kanan) yang mendaftar masuk ke UPM bagi sesi akademik 2011/2012.

SERDANG: Status orang kelainan upaya (OKU) kerana kecacatan fizikal tidak membantutkan semangat dua pelajar untuk menjejakkan kaki ke universiti bagi menggenggam segulung ijazah.

Suhazli Muhamad, 19, yang cacat pada kaki dan tangan sejak lahir membuktikan insan istimewa sepertinya mampu meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan akhir program matrikulasi, sekaligus memberinya peluang untuk melanjutkan pengajian di universiti.

Menyedari dirinya tidak sempurna seperti insan lain, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ketereh, Kelantan itu berazam untuk mengubah nasib dirinya dan beranggapan kecacatan pada dirinya bukan halangan untuk mengapai impian sejak kecil.

Segala jerih perih dan kesungguhan anak bongsu daripada lapan beradik ini akhirnya berbalas apabila Suhazli mendaftar masuk ke Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Serdang di sini pada Rabu untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan Sains Komputer (Pengkhususan Multimedia).

"Saya gembira dan tidak sabar untuk memulakan pengajian di UPM selepas bercuti panjang selama empat bulan," katanya yang tiba di sini semalam dengan ditemani kedua-dua ibu bapa dan pak ciknya.

Menurut Suhazli, kegilaan terhadap filem animasi tiga dimensi (3D) mendorong dirinya untuk menyambung pengajian dalam bidang sains komputer yang juga pilihan pertamanya berbanding kursus lain.

"Saya meminati karakter yang comel seperti Upin & Ipin dan The Smurfs. Memandangkan saya bercita-cita untuk menjadi penerbit filem animasi, pilihan dalam bidang sains komputer amat tepat," ujarnya.

Suhazli yang memperoleh CGPA 3.68 bagi program Matrikulasi di Tangkak, Johor sebelum ini menjadikan kedua-dua ibu bapanya sebagai pembakar semangat untuk bersaing dengan insan normal yang lain.

"Masa kecil-kecil dulu ada terdetik perasaan kesal kerana dilahirkan sebegini tapi sekarang kekurangan yang ada pada diri ini menjadi kekuatan untuk membangunkan diri sendiri.

"Saya percaya tiada orang yang dapat membantu orang seperti saya melainkan diri sendiri. Jadi, saya boleh buat apa yang orang lain lakukan, segalanya tidak mustahil," katanya.

Malah, Suhazli berazam untuk meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana selepas menamatkan program Ijazah Sarjana Muda selama empat tahun.

"Saya ada memaklumkan niat ini kepada pihak pengurusan UPM. Mereka beritahu jika saya memperoleh CGPA 3.7 ke atas dalam dua semester sepanjang tempoh pengajian itu, saya boleh terus melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PHD)," jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi pelajar OKU, M. Hanif Hafizuddin Mohd Azmi menyatakan rasa syukur dan bangga kerana terpilih untuk melanjutkan pengajian ke UPM dalam jurusan Pembangunan Sumber Manusia.

"Saya akan cuba melakukan yang terbaik walaupun pergerakan saya agak terbatas. Kecacatan yang dialami ketika berada di Tingkat 4 tidak akan menghalang saya untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang," kata pelajar berusia 20 tahun ini.

Walaupun mengalami kecacatan pada kaki akibat masalah saraf tulang belakang, anak kedua daripada empat beradik itu memperoleh 4A dalam keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Suhazli dan Hanif merupakan antara lima pelajar OKU daripada 3,631 pelajar baru program Ijazah Sarjana Muda yang diterima masuk ke UPM bagi sesi akademik 2011/2012.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPM, Profesor Dr Mohd Fauzi Ramlan berkata, berlaku penurunan sebanyak 695 pelajar bagi kemasukan pelajar bagi program Ijazah Sarjana Muda pada tahun ini.

"Tahun lalu, seramai 4,326 pelajar baru mendaftar masuk. Jadi ada penurunan dalam bilangan kemasukan pelajar pada tahun ini," katanya.

Mohd Fauzi berkata, penurunan itu berlaku kerana UPM ingin memberi tumpuan kepada program pasca siswazah bersesuaian dengan statusnya sebagai universiti penyelidikan.

"Ia merupakan kriteria yang diperlukan untuk mencapai status tersebut. Kami sedang menuju ke arah itu," katanya.

Beliau turut memberitahu, daripada jumlah pelajar baru sedia ada, seramai 142 pelajar dari Iran, Arab Saudi, Pakistan, Kanada, Indonesia, Maldivies, Mauritius, Sri Langka, Bangladesh, Brunei dan Singapura turut mendaftar bagi program Ijazah Sarjana Muda di universiti itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan