Mat Indera Bukan Ahli PKM & Tak Terlibat Serang Bukit Kepong - Adik

Diterbitkan: Rabu, 7 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Adik tiri kepada Ahmad Indera atau Mat Indera menegaskan bahawa abangnya bukan pengkhianat negara malah turut menafikan tokoh kontroversi itu menganggotai Parti Komunis Malaya (PKM).

Selain itu Baharom Shah Indera, 65, berkata, Mat Indera juga tidak berfahaman komunis malah turut serta berjuang membebaskan negara daripada penjajahan British.

"Abang saya selalu menafikan bahawa beliau bukan seorang yang berfahaman komunis. Beliau juga tidak pernah menganggotai PKM.

"Kami ahli keluarga percaya beliau bukan anggota komunis. Saya yakin beliau adalah pejuang kemerdekaan yang sebenar dengan caranya sendiri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini, Rabu.

Justeru Baharom Shah mendesak kerajaan membersihkan nama Mat Indera daripada terus dilabel sebagai pengkhianat negara.

Menurutnya, dua asas utama bahawa Mat Indera bukan seorang pengkhianat adalah berdasarkan pegangan agama dan ketegasan tokoh berkenaan menentang British.

"Saya mendesak agar kerajaan bersihkan nama abang saya, jangan lagi label beliau sebagai pengkhianat negara kerana beliau turut menyumbang kepada kemerdekaan negara. Kerajaan perlu betulkan sejarah yang ditulis oleh British.

"Dua asas penting ialah abang saya sangat komited dengan agama dan mengajar agama sama ada di dalam hutan atau di luar hutan semasa beliau terlibat dalam gerakan kemerdekaan negara.

"Keduanya beliau sangat bencikan penjajah British, beliau bergerak menentang British menerusi gerakan gerila," katanya.

Melabelkan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan berhaluan kiri, Baharom Shah menjelaskan bahawa abangnya itu tidak terlibat dalam tragedi serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong oleh PKM.

"Berdasarkan maklumat yang saya perolehi, Mat Indera datang lewat ke Bukit Kepong semasa kejadian pada 23 Februari 1950. Beliau datang bukan untuk bertempur sebaliknya datang untuk menyelamatkan mangsa yang terlibat.

"Antara yang diselamatkan daripada dibunuh adalah anggota polis, Yusof Rono dan Jamilah Abu Bakar iaitu anak anggota polis merin Bukit Kepong.

"Saya difahamkan ramai lagi mangsa yang diselamatkan oleh Mat Indera," katanya.

Kontroversi mengenai Mat Indera tercetus selepas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam ceramahnya di Tasek Gelugor pada 21 Ogos lalu mengangkat pejuang gerila itu sebagai hero tragedi Bukit Kepong.

Mohamad dalam ceramahnya turut menyebut bahawa Mat Indera dan rakan seperjuangan dalam PKM yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong sebagai pejuang kemerdekaan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan