Bukan Masa Salahkan Mana-Mana Pihak:Najib

Diterbitkan: Isnin, 5 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sekarang bukan masanya untuk saling menuding jari dan menyalahkan mana-mana pihak berhubung kematian jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor akibat terkena tembakan curi di Mogadishu, Somalia.

Perdana Menteri berkata apa yang penting sekarang ialah untuk mengambil iktibar dan cuba memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang dalam misi kemanusiaan yang disertai Malaysia pada masa depan.

"Ini merupakan sebahagian (daripada bidang kewartawanan). Kamu boleh mengambil langkah keselamatan tapi tiada jaminan sepenuhnya (mengenai keselamatan) sebaik anda berada di kawasan konflik seperti Libya, Mesir dan Gaza di mana banyak nyawa wartawan telah hilang," katanya.

Najib bercakap pada sidang akhbar selepas menyertai keluarga Noramfaizul di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang bagi menunggu ketibaan jenazah Allahyarham dari Mogadishu, Ahad.

Beliau berkata organisasi media seperti CNN dan BBC juga telah kehilangan ramai wartawan mereka akibat terkena tembakan ketika bertugas di kawasan yang dilanda konflik.

Noramfaizul, 39, terkorban akibat terkena tembakan curi semasa kenderaan yang dinaikinya bersama petugas media Malaysia untuk membuat liputan misi bantuan kemanusiaan oleh Kelab Putera 1Malaysia ditembak ketika mereka dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan