Pengamal Media Perlu Persediaan Rapi Sebelum Ke Kawasan Konflik

Diterbitkan: Ahad, 4 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengamal media yang bertugas di kawasan konflik perlu membuat persedian rapi seperti melakukan penyelidikan terperinci mengenai kawasan terbabit serta mengambil langkah berjaga-jaga semaksimum mungkin apabila berada di sana.

Editor "Asian Defence Journal" Mohd Ghazemy Mahmud berkata penyelidikan penting untuk mengenal sejarah, persekitaran dan situasi di kawasan yang akan dikunjungi.

"Sekarang kita ada internet, Google dan sebagainya. Kita kena tahu mana puak yang bertelagah. Laporan mengenai peperangan adalah sesuatu yang berbeza sama sekali kerana ia berbahaya, 10 kali ganda lebih berbahaya daripada liputan rusuhan, umpamanya," katanya ketika dihubungi Bernama, Sabtu.

Jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor, 39, maut akibat terkena tembakan peluru sesat Jumaat semasa membuat liputan misi kemanusiaan bagi membantu mangsa kebuluran di Somalia.

Berpengalaman membuat liputan di beberapa negara bergolak seperti Bosnia Herzegovina, Croatia dan Lebanon semasa bertugas sebagai wartawan dengan agensi berita Bernama satu ketika dahulu, Mohd Ghazemy berkata selain peralatan survival biasa, pengamal media perlu bersedia dengan peralatan lain, seperti memakai jaket keselamatan.

Menurutnya jaket keselamatan yang dipakai pula perlu berbeza daripada warna jaket tentera serta jaket pihak bertelagah, dan label media perlu terpapar jelas dalam pelbagai bahasa bagi memudahkan pemahaman penduduk setempat.

Mohd Ghazemy berkata organisasi media pula perlu mengadakan on-job training bagi memberi pendedahan kepada para petugas tentang cara membuat liputan di kawasan konflik atau peperangan.

"Panggillah pakar untuk beri taklimat mengenai laporan berhubung perang. Ini tanggungjawab syarikat dan ia mesti on-going. Tak perlu tunggu sampai berlaku insiden tidak diingini seperti di Somalia," katanya.

Menurutnya kebanyakan pertubuhan berita asing dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin pergi ke kawasan dilanda konflik akan merujuk kepada syarikat-syarikat keselamatan persendirian untuk mendapatkan khidmat nasihat, membuat 'risk assessment' serta menyediakan laporan tahap keselamatan, dan jika perlu, mendapatkan khidmat pengiring.

"Pengiring ini ada yang bersenjata dan ada yang tidak. PBB (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) pun ada kontraktor keselamatan sendiri yang lengkap dengan peralatan kecemasan dan radio, itu penting.

"Lihatlah 'industry practice'. Kita kena buat. Tengok pertubuhan lain, yang baik kita ikut. Kita kena ada sesuatu yang boleh beri jaminan keselamatan kepada mereka (yang menyertai misi ke kawasan bergolak)," katanya dan menambah semasa di kawasan konflik, para wartawan dan jurugambar perlu bersikap neutral bagi mengelak daripada terdedah kepada sebarang ancaman. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan