Parlimen Johor Baharu Akan Sumbang Amanah Saham Kepada Anak-Anak Noramfaizul

Diterbitkan: Ahad, 4 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Anggota Parlimen Johor Baharu Datuk Seri Shahrir Abdul Samad pada Ahad berkata pihaknya akan memberi sumbangan bagi membantu membela nasib anak arwah jurukamera Bernama Tv Noramfaizul Mohd Nor.

Beliau berkata bantuan yang akan diberikan itu berupa pelaburan amanah saham Didik bagi menjamin masa depan yang baik kepada Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3.

"Kita menyasarkan untuk mengumpul RM5,000 seorang bagi kedua-dua anak arwah dan memberikan bantuan dalam bentuk Amanah Saham 2020, Amanah Saham Didik atau amanah saham yang sesuai di bawah Permodalan Nasional Berhad," katanya.

Shahril berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Tabung Bantuan Somalia peringkat Parlimen Johor Baharu pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri beliau di Dewan Sri Tebrau di sini, Ahad.

Noramfaizul, 39, terkorban akibat terkena tembakan curi semasa kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya bersama petugas media Malaysia yang diiringi tentera kerajaan Somalia ditembak semasa dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan di Mogadishu selepas membuat liputan misi bantuan kemanusiaan oleh Kelab Putera 1Malaysia itu.

Shahrir berkata kematian Noramfaizul merupakan satu pengorbanan yang begitu tinggi oleh petugas media Malaysia dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat di negara ini.

"Kalau kita tidak hantar orang kita sendiri, kita akan hanya mendapat maklumat daripada agensi media asing yang mana mempunyai perspektif yang berbeza," katanya.

Beliau berkata pelancaran Tabung Bantuan Somalia di kawasan parlimennya adalah bagi meneruskan misi bantuan kemanusiaan di negara tersebut yang dilanda kemarau, kebuluran dan konflik bersenjata.

Shahrir turut menepis dakwaan sesetengah pihak bahawa misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia adalah semata-mata untuk meraih publisiti dan bahawa Malaysia tiada terikat dengan sebarang perjanjian untuk membantu pelarian.

Katanya, misi bantuan itu dibuat kerana rakyat di Somalia amat memerlukan bantuan akibat masalah kebuluran serta kemarau dan mereka bukannya pelarian.

Sementara itu, di KOTA KINABALU, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Yahya Hussin berkata perjuangan ketika melaksanakan tugas yang ditunjukkan oleh Allahyarham Noramfaizul adalah tauladan yang sangat baik untuk diikuti oleh rakyat di negara ini.

Yahya berkata Allahyarham bukan sahaja berkorban meninggalkan keluarga pada hari lebaran demi menunaikan tugas di luar negara, tetapi sanggup menyahut seruan majikan untuk bertugas di negara yang sedang bergolak.

"Kita semua dikejutkan dengan kematian seorang warga negara Malaysia yang bertugas di Somalia. Allahyarham sanggup berkorban di negara lain demi menunaikan tugas terhadap negara.

"Pengorbanan seumpama ini perlu contohi oleh rakyat Malaysia yang mana mereka sedia berkorban demi negara pada bila-bila masa dan mempertahankan maruah negara," kata Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri pada Majlis Merdeka Raya 2011 di Sembulan Lama, dekat sini, Ahad.

Yahya berkata sikap sedia berkorban demi kepentingan negara perlu disemai di hati setiap rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian dan keharmonian. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan