Kelajuan Ambulans Di Jalan Raya Akan Disiasat - Ketua Polis Negara

Diterbitkan: Jumaat, 2 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Robiah Abdul Ghani membalas Tabik Hormat pada Majlis Paluan Berundur Sempena Persaraannya di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di Kuala Lumpur, Khamis. - Foto BERNAMA
Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Robiah Abdul Ghani membalas Tabik Hormat pada Majlis Paluan Berundur Sempena Persaraannya di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di Kuala Lumpur, Khamis. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar pada Khamis berkata pada masa ini tiada had laju ditetapkan untuk ambulans yang membawa pesakit ke hospital semasa kecemasan.

Walau bagaimanapun pihaknya akan menyiasat kejadian kemalangan yang melibatkan ambulans dan mendapatkan pandangan pelbagai pihak sebelum mengadakan sebarang had laju, katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis persaraan Pengarah Jabatan Pengurusan Polis Diraja Malaysia Datuk Robiah Abdul Ghani di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini.

Ismail berkata pihak polis juga akan menyiasat kejadian kemalangan maut yang melibatkan ambulans Rabu.

Seorang ibu, Norizah Bujang, 62, maut apabila ambulans yang dinaikinya bagi menemani anaknya untuk mendapatkan rawatan akibat terkena renjatan elektrik di Hospital Kuala Pilah terbabas ketika melalui satu selekoh di Jalan Felda Bukit Rokan di Tampin, Negeri Sembilan.

Anaknya, Nur Intan Suhana Ahmad, 30, terselamat tetapi kritikal akibat renjatan elektrik, sementara pemandu dan pembantu kesihatan dari Klinik Kesihatan Jelai mengalami cedera ringan di muka dan tangan.

Pada pertengahan Ogos lepas, pesakit Mariam Baba, 73, seorang mangsa samun maut dan jururawat Yuhanis Yasin, 30, meninggal dunia kerana cedera parah setelah ambulans yang mereka naiki untuk ke Hospital Kuala Lumpur dari Melaka terbalik setelah dirempuh oleh sebuah teksi.

Turut hadir pada majlis Khamis ialah Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar.

Robiah, 58, merupakan wanita pertama dalam perkhidmatan PDRM yang dilantik ke jawatan pengarah dan wanita pertama sebagai ketua polis negeri iaitu Ketua Polis Pahang pada 2008.

Anak kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur itu telah berkhidmat dengan PDRM selama 39 tahun merupakan Inspektor Pelatih Wanita Terbaik semasa menjalani latihan di Maktab Polis Kuala Kubu Baru, Selangor pada 1972. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan