Elaun Renjer Dan Pengesan Jejak Di Sarawak Wajar Disemak

Diterbitkan: Jumaat, 2 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Satu ketika mereka adalah kumpulan yang yang mampu menimbulkan rasa gerun di kalangan musuh dan mencetuskan keyakinan di kalangan perajurit yang menggunakan khidmat mereka.

Kemahiran kumpulan renjer dan pengesan jejak dari Sarawak ini dalam menghidu kehadiran musuh dan menjejaki persembunyian pengganas di hutan memberi input yang tidak ternilai dalam usaha pasukan keselamatan menangani ancaman komunis pada zaman sebelum dan selepas merdeka.

Kumpulan separa tentera ini, yang mahir mengenai selok-belok perperangan di hutan dan juga dalam penggunaan senjata moden mahupun tradisi, mula digerakkan ketika zaman darurat pada tahun 1948 hingga 1960.

Kini, lama selepas perang tamat dan negara yang mereka turut pertahankan telah lama mencapai kemerdekaan, sekumpulan 186 renjer dan pengesan jejak ini menghabiskan sisa usia mereka dengan elaun RM100 sebulan, seakan-akan terpinggir dan dilupakan.

Elaun bulanan sebanyak RM100 itu, bagi sesetengah pihak, mungkin tidak munasabah jika diimbau kembali jasa mereka kepada negara, tetapi itulah hakikat yang mereka hadapi.

Pendedahan mengenai jumlah elaun yang diterima wira negara yang tidak didendang ini mencetuskan gesaan supaya kerajaan mengkaji semula kadar bulanan itu dan menaikkannya supaya selaras dengan garis kemiskinan yang diterima pakai di negara ini.

"Mereka tidak mendapat bayaran pencen. Kadar RM100 itu hanyalah pemberian oleh kerajaan persekutuan, melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran," kata Presiden Persatuan Veteran Sarawak, Leftenan-Kolonel (B) Rizal Abdullah.

Beliau memberitahu Bernama bahawa renjer dan pengesan jejak itu digerakkan dalam tiga kumpulan.

Kumpulan pertama digerakkan sebagai kumpulan separa tentera pada tahun 1940-1952, kumpulan kedua sebagai Renjer Sarawak (Unit Tanah Melayu) pada tahun 1952-1960 dan kumpulan ketiga sebagai Renjer Sarawak (Angkatan Darat Timur Jauh) pada 1960-1963.

"Hanya anggota Renjer Sarawak (Angkatan Darat Timur Jauh) dan mereka yang kemudiannya menyertai Renjer Tanah Melayu, pasukan polis atau pengakap sempadan yang menerima pencen. Golongan ini tidak menghadapi banyak masalah kerana mereka menerima pencen penuh," katanya.

Bagaimanapun, mereka yang berkhidmat antara tahun 1940-1952 and 1953-1960 tidak layak menerima pencen kerana mereka dianggap sebagai separa tentera dan bukannya dalam perkhidmatan tentera dalam erti kata yang sebenarnya.

"Ramai daripada mereka kembali ke kampung selepas tamat kontrak dan kekal dengan kehidupan desa sehingga sekarang. Kerajaan bagaimanapun membayar RM100 sebulan kepada mereka sebagai penghargaan terhadap khidmat bakti mereka," katanya.

Rizal bagaimanapun berkata kerajaan wajar menyemak semula dan menaikkan elaun berkenaan bagi membantu perajurit veteran ini menghadapi tekanan sara hidup.

"Secara peribadi, saya rasa kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri Sarawak perlu melihat perkara ini. Bagi pihak saya sendiri, saya sedang berusaha menubuhkan Persatuan Renjer Sarawak untuk mencari jalan membantu mereka," katanya.

Beberapa ahli politik, termasuk Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, turut menyokong saranan supaya elaun itu dinaikkan sehingga RM750 sebulan supaya sejajar dengan garis kemiskinan di negara ini.

"Mereka berhak untuk mendapat elaun yang lebih tinggi. Ia sepatutnya disemak supaya bersesuaian dengan kos sara hidup semasa," kata Wan Junaidi, yang pernah berkhidmat sebagai polis dan merupakan Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Sarawak.

"Walaupun mereka bukanlah tentera dalam ertikata sebenarnya, mereka bertugas demi negara dan meninggalkan keluarga kerana tuntutan tugas. Mereka yang bernasib baik, dapat pulang ke pangkuan keluarga. Bagaimanapun, ramai yang terkorban ketika bertugas," katanya.

Menteri Pembangunan Tanah Sarawak Tan Sri Dr James Masing juga dilaporkan menyokong gesaan supaya kadar elaun itu disemak.

"Peningkatan dalam jumlah elaun akan mencerminkan penghargaan kerajaan terhadap pengorbanan mereka dalam membantu mempertahankan negara pada hari-hari awal penubuhannya," kata beliau.

Gesaan itu turut mendapat sokongan Pengarah Hal Ehwal Veteran bagi Sarawak, Lt-Kol Monday Juhnid, yang menyifatkan jumlah RM100 sebagai terlalu kecil.

"Saya berharap agar pemimpin negeri akan memperjuangkan perkara ini dan mencari jalan bagaimana mereka dapat membincangkannya dengan rakan mereka di peringkat persekutuan," kata dalam satu laporan media baru-baru ini. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan