Selepas 50 Tahun, Singapura Serah Kemudahan Loji Air Kepada Johor Secara Rasmi, Rabu

Diterbitkan: Rabu, 31 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Rabu berkenan menyaksikan majlis penyerahan kemudahan loji rawatan air dan rumah pam secara rasmi oleh Lembaga Perbekalan Awam Singapura (PUB) kepada kerajaan negeri Johor.

Majlis menandatangani penyerahan dua loji rawatan air dan dua rumah pam milik PUB disempurnakan secara bersama oleh Pengerusi PUB Tan Gee Paw dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Obet Tawil, di Loji Air Gunung Pulai di sini.

Turut hadir pada majlis bersejarah itu ialah Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan Menteri Sekitaran dan Sumber Air Singapura, Dr Vivian Balakrishnan.

Selain Loji Air Gunung Pulai, PUB menyerahkan Loji Air Sungai Skudai, Rumah Pam Tebrau dan Rumah Pam Pontian berikutan kontrak bekalan air selama 50 tamat antara PUB dan kerajaan negeri Johor di bawah Perjanjian Air 1961, Rabu.

Dalam ucapan pada majlis itu, Abdul Ghani mengucapkan terima kasih kepada PUB kerana mengurus dan menjaga semua kemudahan loji rawatan air dan rumah pam berkenaan dalam keadaan baik sepanjang tempoh perjanjian tersebut.

"Loji rawatan air Gunung Pulai adalah berkualiti tinggi dan kerajaan Johor bercadang meneruskan usaha baik PUB itu," katanya.

Beliau juga berkata kerajaan negeri menimbang untuk menaiktaraf semua kemudahan berkenaan demi menampung permintaan bekalan air bagi penduduk Johor Baharu dan Pontian.

Keputusan untuk menyerahkan kemudahan air itu secara percuma dicapai semasa pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya Lee Hsien Loong pada 24 Mei tahun lalu.

Sebelum ini, dilaporkan penyerahan kemudahan air oleh PUB itu akan menghasilkan tambahan 681 juta liter air bersih sehari untuk negeri Johor.

Ekoran tamatnya perjanjian itu, Johor akan mengurus 43 daripada 44 loji rawatan air di negeri itu manakala PUB akan terus menguruskan Loji Rawatan Air Sungai Johor dan Empangan Linggiu di Johor.

Terdapat dua Perjanjian Air Johor-Singapura iaitu Perjanjian Air 1961 yang tamat pada 31 Ogos 2011 dan Perjanjian Air 1962 yang akan tamat pada 2061.

Sementara itu, Dr Vivian berkata penyerahan tersebut tidak akan menjejaskan bekalan air republik itu.

"Penyerahan tersebut atas dasar baik dan simbolik kepada peningkatan hubungan antara Singapura dan Malaysia," dipetik sebagai berkata oleh saluran televisyen Singapura 'Channel NewsAsia'.

Dua loji rawatan dan dua rumah pam itu menghasilkan kira-kira 57 juta liter air sehari atau lima peratus jumlah keperluan bekalan air Singapura.

Katanya Singapura kini dalam landasan untuk menjadi mampu diri dalam bekalan air menjelang tamatnya Perjanjiaian Air 1961 pada 2061.

Katanya sepanjang lalu, Singapura sedang membangunkan sumber air tempatan dengan membina empangan baru dan meningkatkan teknologi keupayaan proses penyahgaraman dan AirBaru. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan