Sambutan Aidilfitri Istimewa Bersama Hari Kemerdekaan Ke-54

Diterbitkan: Selasa, 30 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Umat Islam di Malaysia pada Selasa menyambut Aidilfitri dengan penuh kemeriahan bersama-sama keluarga dan tradisi rumah terbuka yang turut diraikan bersama dengan sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-54 esok.

Di setiap pelusuk negara, masjid menjadi tumpuan jutaan muslimin untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri pada pagi Syawal selepas genap sebulan berpuasa.

Budaya balik kampung, satu ciri penting bagi memelihara hubungan kekeluargaan diteruskan sehinggakan ibu kota Kuala Lumpur lengang pada hari lebaran.

Selain amalan Rumah Terbuka, suatu tradisi di kalangan pelbagai kaum di Malaysia ketika sambutan perayaan masing-masing, sambutan kali ini turut dimeriahkan dengan kibaran Jalur Gemilang di rumah kediaman, pusat peniagaan dan pusat membeli-belah bagi menandakan sambutan serentak "Merdeka Raya".

Di ibu negara, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara bersama-sama 15,000 jemaah yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad manakala khutbah disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Baginda yang berbaju Melayu merah jambu tiba di masjid pada pukul 8.30 pagi diiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, menteri Kabinet beragama Islam dan para diplomat asing.

Tahun ini merupakan kali terakhir Tuanku Mizan bersolat sunat Aidilfitri sebagai Yang di-Pertuan Agong di Masjid Negara memandangkan tempoh perkhidmatan baginda akan tamat pada Disember ini.

Sementara itu, Yang Di-pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah turut mengadakan majlis Istana Terbuka di Istana Negara melibatkan pemimpin negara, wakil luar negara dan orang ramai pada pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari.

Najib bersama jemaah menteri pula mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana, Putrajaya dari 1 tengah hari sehingga 6 petang.

Di KUALA KANGSAR, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama-sama lebih 2,000 rakyat jelata di Masjid Ubudiah.

Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, Raja Dihilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, kerabat-kerabat diraja dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut sama menunaikan solat itu.

Para jemaah kemudian mengambil kesempatan bersalaman dengan Sultan Azlan Shah selepas selesai menunaikan solat.

Dr Zambry juga mengadakan rumah terbuka Aidilfitri dan Sambutan Kemerdekaan kali ke-54 di kediaman rasminya di Ipoh mulai pukul 2 petang hingga 6 petang.

Majlis akan diserikan dengan keberangkatan Sultan Azlan Shah, Raja Permaisuri Bainun, Dr Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak.

Di KUCHING, Yang Dipertua Negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng menunaikan solat sunat Aldifitri di Masjid Jamek negeri di Petra Jaya di sini bersama kira-kira 5,000 umat Islam.

Turut hadir Ketua Menteri Tan Sri Sri Abdul Taib Mahmud, Menteri Pelancongan dan Warisan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Mohd Asfia Awang Nassar serta beberapa orang kenamaan yang lain.

Abang Muhammad Salahuddin mengadakan rumah terbuka Hari Raya di Astana di Petra Jaya di sini manakala Taib serta anggota Kabinet negeri menyambut tetamu pada majlis rumah terbuka di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) di sini.

Di SHAH ALAM, lebih 15,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang diimamkan Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Marzuki Hussin turut menunaikan solat sunat itu.

Menteri Besar Selangor mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di dataran Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama kira-kira 10,000 umat Islam di Masjid Al Azim Bukit Palah di sini.

Turut serta menunaikan solat itu ialah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Wira Othman Muhamad, pemimpin masyarakat serta pegawai kanan kerajaan negeri.

Mohd Khalil dan Mohd Ali turut mengadakan Rumah Terbuka Aidilfitri Merdeka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini dari 10 pagi hingga 4 petang.

Di KUALA TERENGGANU, Menteri Besar Tan Sri Ahmad Said dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mazlan Ngah menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama kira-kira 1,000 umat Islam di Masjid Al-Muktafi Billah Shah Ladang.

Ahmad juga mengadakan majlis sambutan Hari Raya/Merdeka di kediaman rasmi Menteri Besar, Seri Iman di Batu Buruk.

Di GEORGE TOWN, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri.

Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isterinya Tun Jeanne Abdullah turut pulang ke kampung di Kepala Batas untuk menyambut Hari Raya Puasa.

Selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Jamek Al-Jamiul Badawi, Abdullah dan isteri menziarahi pusara ibu dan bapanya, Datuk Kailan Hasan dan Datuk Ahmad Badawi Abdullah.

Pasangan itu turut mengadakan rumah terbuka di Kompleks Budi Penyayang di Kepala Batas.

Di ARAU, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Abdul Rashid menyertai ribuan rakyat jelata menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri.

Turut berangkat mengiringi baginda berdua untuk menunaikan solat itu ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut serta ialah Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azizan Hamid.

Selepas solat, Raja Perlis dan Raja Perempuan berkenan menerima menghadap para pembesar negeri dan rakyat jelata pada majlis rumah terbuka di Istana Arau bermula pukul 9.30 pagi hingga 11.30 pagi.

Di ALOR SETAR, Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menyertai ribuan umat Islam menunaikan sembahyang sunat Aidilfitri di Masjid Zahir.

Turut serta anggota Exco kerajaan negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Rasli Basir.

Baginda kemudian mengadakan rumah terbuka di Istana Anak Bukit bermula 10 pagi hingga 12 tengah hari.

Di KUANTAN, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menunaikan sembahyang sunat Aidilfitri bersama kira-kira 4,000 jemaah di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1.

Turut menunaikan solat bersama baginda ialah kaum kerabat serta beberapa anggota Exco kerajaan negeri.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob mengadakan majlis rumah terbuka yang bermula 11 pagi hingga 3 petang di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah.

Di KOTA BAHARU, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama ribuan jemaah di Masjid Muhammadi di sini manakala khutbah dibacakan Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Baginda kemudiannya berangkat ke Makam Diraja Langgar dan selepas itu menyertai rakyat jelata pada Majlis Penghadapan yang diadakan di Istana Negeri di Kubang Kerian.

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula mengimamkan solat sunat Aidilfitri di Masjid Pulau Melaka yang selepas itu turut mengadakan rumah terbuka.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed akan mengadakan rumah terbuka di kediamannya, Darul Falah di Jeli pada raya ketiga manakala Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin pada raya keempat di Kampung Perupok, Bachok.

Di KOTA KINABALU, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama kira-kira 5,000 rakyat jelata di Masjid Negeri Sabah.

Juhar dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni turut mengadakan rumah terbuka di Istana Negeri yang dihadiri oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan para menteri Kabinet negeri dan jemputan khas bermula 10 pagi.

Sesi rumah terbuka untuk orang ramai pula bermula dari 11 pagi sehingga 2 petang.

Di JOHOR, Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Sultan Abu Bakar bersama lebih 3,000 umat Islam.

Turut bersama menunaikan solat itu ialah para wakil rakyat dan orang kenamaan.

Abdul Ghani kemudiannya mengadakan rumah terbuka di kediaman rasmi Menteri Besar di Saujana yang dihadiri penduduk pelbagai kaum dan agama termasuk dari negara jiran Singapura. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan