Pelatih KPLSPM Akan Dilatih Khas Oleh Universiti Tunku Abdul Rahman

Diterbitkan: Selasa, 30 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dipilih oleh Kementerian Pelajaran untuk melatih pelatih Kursus Perguruan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (KPLSPM) di bawah program khas bahasa Inggeris.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata langkah itu selaras dengan usaha dan strategi kerajaan untuk meningkatkan kemahiran dalam bahasa Inggeris di kalangan pelatih berkenaan.

Beliau berkata program itu diperlukan dalam konteks dasar kerajaan untuk mempertahankan bahasa Melayu dan mengukuhkan bahasa Inggeris.

"Pensyarah yang pakar dan berkelayakan dalam bahasa Ingegris di UTAR sendiri akan menjalankan program itu dikenali sebagai Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Inggeris," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian untuk mempromosikan kursus bahasa Inggeris antara UTAR dan Coree Corporation Sdn Bhd, di sini Isnin.

Wee berkata kemahiran pelatih dalam bahasa Inggeris akan juga diperbaiki agar mereka tidak menghadapi masalah apabila mula mengajar di sekolah.

"Kita akan latih lebih ramai guru bahasa Inggeris untuk mengajar bahasa Inggeris di sekolah seluruh negara tetapi jumlah pelatih diambil bergantung pada permintaan," kata beliau.

Perjanjian itu bertujuan mempromosikan kursus bahasa Inggeris kepada pelajar Korea Selatan yang mengambil kursus bahasa Inggeris di kampus Kampar, Perak dan kumpulan pertama penuntut dari negara itu dijangka tiba pada Disember ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan