Kepimpinan Najib Diterima Majoriti Rakyat - Rais

Diterbitkan: Selasa, 30 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diterima majoriti rakyat di negara ini, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata kajian yang dijalankan oleh Jabatan Penerangan Malaysia mendapati kepimpinan Perdana Menteri amat kukuh di kalangan rakyat di negara ini terutamanya daripada segi penerimaan program pembelaan rakyat.

Sehubungan itu, beliau menganggap laporan kajian Merdeka Centre yang mengatakan populariti Perdana Menteri semakin menurun sebagai tidak berasas.

“Mereka hanya mengambil beberapa sampel yang tidak menyentuh komuniti luar bandar, masyarakat India yang tidak menyeluruh, masyarakat yang berada di sekitar kuala Lumpur yang mempunyai sokongan kuat dan padu kepada Perdana Menteri," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Seri Perdana di sini Selasa.

Kajian terbaru Merdeka Centre mendakwa aliran populariti Najib terus mengalami penurunan daripada 72 peratus pada Mei 2010 kepada 69 peratus November lalu, 67 peratus pada Mac tahun ini dan seterusnya ke paras 65 peratus Mei lalu dan yang terbaru 59 peratus.

Bagaimanapun, kajian Jabatan Penerangan Malaysia yang melibatkan 50,000 responden yang terdiri daripada pelbagai masyarakat di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak mendapati mereka amat menerima kepimpinan Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional (BN) secara ikhlas.

Sehubungan itu, Rais yang meragui kajian Merdeka Research Centre itu menasihatkan pusat penyelidikan itu mengambil pendekatan yang menyeluruh apabila membuat sesuatu kajian sepertimana yang dilakukan di beberapa negara barat.

"Saluran penyelidikan mereka adalah terhad dan bagi pihak yang tertentu. Jadi ia tidak berasas kepada kenyataan dan keadaan sebenarnya," katanya.

Rais berkata peningkatan berganda bilangan orang ramai yang mengunjungi rumah terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri pada hari ini berbanding tahun lepas juga jelas menunjukkan keyakinan rakyat negara ini terhadap kepimpinan Najib sebagai pemimpin nombor satu negara. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan