Pelajar Malaysia Tidak Perlu Ke Mesir Jalani Ujian Kemasukan Universiti Al-Azhar

Diterbitkan: Isnin, 29 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Semua lulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang berhasrat melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar di Mesir, mulai tahun ini diwajibkan menduduki ujian kemasukan pelajar asing dari negara bukan berbahasa Arab di Malaysia yang dikendalikan oleh Yayasan Sofa.

Yang di-Pertua Yayasan Sofa Dr Yusri Mohamad berkata sebelum ini pelajar dikehendaki mengambil ujian yang sama di Kaherah tetapi pihak Universiti Al-Azhar telah menetapkan dasar baru melaksanakan ujian itu di negara asal pelajar.

Beliau berkata pelajar yang gagal akan diwajibkan menjalani Kursus Asasi Bahasa Arab yang akan diadakan di Pusat Asasi Universiti Al-Azhar di Petaling Jaya selama 10 bulan yang dikendalikan oleh pensyarah dari universiti itu sendiri.

"Sejak 2009, Universiti Al-Azhar telah melaksanakan ujian kemasukan ini di Kaherah kerana bimbang prestasi dan kemampuan pelajar Malaysia kerana gagal menguasai Bahasa Arab dengan baik.

"Bermula tahun ini, pihak universiti membuat dasar baru untuk mengadakan ujian itu di sini bagi mengelakkan pelajar menanggung kos yang besar untuk berada di Kaherah, kerana jika gagal ujian, mereka mungkin tidak mendapat peluang belajar di universiti itu," katanya pada sidang media di sini Isnin.

Yusri bagaimanapun berkata pelajar yang lulus ujian kemasukan itu akan terus diberikan tempat untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar.

"Oleh itu, ujian kemasukan pertama ini akan diadakan dalam dua sesi, ujian bertulis dan ujian lisan di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur pada 6 hingga 8 September.

"Bakal pelajar yang berminat ke Universiti Al-Azhar boleh mendaftar dengan Yayasan Sofa seterusnya menduduki ujian berkenaan dengan syarat mereka memiliki STAM sebagai kriteria minimum," katanya.

Beliau berkata menurut Kementerian Pengajian Tinggi ketika ini terdapat kira-kira 600 orang berhasrat ke Mesir untuk melanjutkan pengajian mereka yang perlu mengambil ujian itu di negara ini.

"Bilangan pelajar Malaysia yang gagal menguasai Bahasa Arab di Mesir semakin meningkat setiap tahun dan ini antara langkah yang diambil pihak universiti untuk tidak menyusahkan pelajar untuk ke Kaherah mengambil ujian," katanya.

Setakat ini, di Malaysia hanya Yayasan Sofa dilantik oleh Universiti Al-Azhar untuk tujuan ujian ini melalui satu perjanjian yang ditandatangani pada 26 Julai lepas.

Mereka yang berminat untuk menduduki ujian ini boleh menghubungi Yayasan Sofa melalui Salahuddin Azarai di nombor 019-6072093. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan