Najib Ucap Terima Kasih Kepada Britain Kerana Bantu Ashraf Haziq

Diterbitkan: Isnin, 29 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan penghargaan kepada rakyat Britain yang membantu pelajar Malaysia, Ashraf Haziq, yang dipukul dan dirompak oleh samseng yang pada awalnya berpura-pura membantunya semasa rusuhan di London awal bulan ini.

"Terima kasih kerana membantu pemuda Malaysia yang ketika itu memerlukan bantuan dan terima kasih kerana sekali lagi membuktikan bahawa London ialah sebuah bandaraya yang mengalu-alukan orang luar tetapi bukannya kepada golongan ekstremis," katanya dalam artikel yang disiarkan dalam The Times.

Najib berkata di Malaysia, kejadian itu disifatkan sebagai tidak berhati perut, tidak berbelas kasihan dan zalim yang telah mengejutkan rakyat Malaysia.

"Ramai daripada kami pernah menghabiskan masa di bandaraya anda dan amat menyayanginya, tetapi peristiwa hitam di London itu tidak pernah kami saksikan sebelum ini dan kami mula tertanya-tanya jika ianya sudah berubah, jika kenangan kami telah diwarnai nostalgia, atau malahan kami telah tersilap sebelum ini," katanya.

Namun, katanya, pada hari-hari kemudiannya Britain telah menunjukkan wajah sebenarnya kepada dunia apabila ribuan rakyat Britain, melalui internet, telah mengutuk perbuatan itu.

"Gelombang kemarahan itu disusuli dengan rasa keprihatinan, bantuan dan sokongan. Dalam zaman di mana sesetengah pihak masih cuba meletakkan jurang antara bangsa dan agama, rakyat biasa Britain tidak teragak-agak untuk membuka pintu hati mereka kepada pemuda Islam Malaysia," katanya.

Najib berkata Ashraf sendiri menjelaskan bahawa perasaan itu adalah semulajadi, enggan membuat penghakiman sepertimana katanya kepada dunia bahawa beliau menyayangi London, tiada apa yang dapat memujuknya untuk meninggalkan kota itu lebih awal dan malahan beliau berasa kasihan kepada penyerangnya.

Perdana Menteri berkata di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun lepas, beliau telah menggesa para pemimpin dunia supaya memerangi semua bentuk ekstremisme dengan menubuhkan "Movement of the Moderates" di peringkat global rakyat biasa daripada semua bangsa, agama dan fahaman politik memerangi golongan ekstremis dan mempertahankan nilai-nilai pegangan dan kepercayaan mereka.

"Nilai-nilai itulah, penerimaan oleh pihak lain, tahu membezakan apa yang salah dan betul dan apa yang lebih penting, menolak perbuatan ekstremis dan keganasan, yang telah dipertahankan oleh rakyat Britain dalam beberapa minggu lepas.

"Apa yang kita telah lihat mencerminkan contoh suara kesederhanaan yang sebenar, dan hanya satu perkataan yang ingin saya katakan iaitu - terima kasih," katanya.

Ashraf, 20, menjadi tumpuan global dalam kejadian rusuhan yang menggegarkan kota London dan Britain apabila berjuta-juta orang menyaksikan dengan penuh rasa terkejut dan marah apabila YouTube memaparkan kejadian malang yang menimpa pelajar Malaysia itu ketika dirompak dan ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan berdarah selepas mematahkan rahangnya dan kemudian mencuri basikalnya. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan