Cadangan Wujud Kawasan Pilihan Raya Baru Akan Dibincang

Diterbitkan: Isnin, 29 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman telah mengambil maklum cadangan Parti Bersatu Sabah (PBS) agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mewujudkan kawasan pilihan raya baru antara Papar dan Sipitang.

"Perkara itu akan dibincangkan kelak," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi Rumah Terbuka Aidilfitri kerajaan Sabah, dekat sini, Isnin.

Beliau diminta mengulas cadangan Ketua Penerangan PBS Datuk Johnny Mositun agar SPR mewujudkan sekurang-kurangnya satu lagi kerusi Parlimen dan antara empat sehingga enam kerusi dewan undangan negeri di antara dua daerah terbabit.

Musa yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Mositun ketika membuat gesaan itu semalam, dilapor berkata cadangan tersebut selaras dengan pembangunan pesat dan pertambahan penduduk di kawasan pantai barat Sabah.

Sementara itu, Musa dan anggota Kabinet negeri yang beragama Islam turut mengundang rakyat Sabah untuk menghadiri sambutan Aidilfitri peringkat negeri di Kompleks Sukan Likas pada hari raya kedua nanti. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan