Puduraya Kini Pudu Sentral - Najib

Diterbitkan: Sabtu, 27 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Terminal Bas Puduraya di sini yang mula beroperasi pada 1976 dan baru sahaja dinaik taraf, kini dikenali sebagai Pudu Sentral, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkannya pada Sabtu.

Perdana Menteri berkata penukaran nama terminal bas itu selaras dengan wajahnya yang moden dan baru, setaraf dengan sebuah lapangan terbang.

Beliau berkata keputusan itu dibuat berikutan cadangan seorang pengikut twitternya, selepas beliau tweet setelah bersahur awal pagi tadi bahawa beliau akan melawat Hentian Puduraya.

"Ramai yang memberi maklum balas dan saya terima cadangan supaya nama hentian bas ini ditukar supaya mencerminkan terminal yang tinggi kualitinya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan wajah baru bas terminal itu di sini, Sabtu.

"Selepas berbincang dengan pihak pengurusan tadi, kita telah bersetuju untuk menukar namanya kepada Pudu Sentral," katanya.

Terminal Puduraya ditutup sementara pada Mac tahun lepas, setahun selepas kerajaan mendapati terminal itu perlu sangat dinaik taraf dan ubahsuai untuk memperbaiki perkhidmatan dan mengambilkira keselamatan awam setelah ia beroperasi lebih tiga dekad.

Ia kini dilengkapi dengan pendingin hawa, kemudahan eskalator dan sistem pengumuman awam untuk mengumumkan ketibaan dan pelepasan bas dan disediakan dengan 296 kamera litar tertutup (CCTV).

CCTV dipasang di semua tempat strategik yang dipantau oleh 48 kakitangan keselamatan untuk memastikan keselamatan dan keselesaan pelawat dan penumpang.

Najib turut meluangkan masa melawat sekitar terminal baru tersebut dan berinteraksi dengan para pengguna serta memberikan sumbangan kuih raya kepada penumpang bas eskpres yang pulang ke kampung sempena Aidilfitri.

Ini merupakan lawatan kali ketiganya ke terminal bas tersebut sejak menjadi Perdana Menteri pada 3 April 2009, di mana tiga minggu selepas itu, Najib turun padang melawat tiga kawasan di tengah-tengah bandar raya, termasuk Hentian Puduraya.

Berikutan dengan lawatan itu beliau mengarahkan supaya Hentian Puduraya dinaik taraf dengan segera, memandangkan keadaan bangunannya yang daif serta tidak memberi keselesaan sama sekali kepada para pengguna.

Kerja-kerja menaik taraf itu dijalankan oleh UDA Holdings Berhad dalam dua fasa dengan kos RM52 juta.

Najib berkata beliau amat berpuas hati dengan kerja-kerja menaik taraf yang dilakukan yang telah mencapai taraf kualiti yang tinggi. "Kebetulan saya berjumpa dengan dua orang pelancong dari Jerman dan saya telah bertanyakan reaksi mereka. Mereka cakap ia seperti sebuah lapangan terbang, begitu juga dengan reaksi daripada pengguna lain. "Saya sangat bangga dengan pembangunan ini. Ini apa yang ada di fikiran saya untuk rakyat. Saya suka bahawa rakyat menikmati kemudahan seperti itu," tambah beliau.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga menggesa pengguna Pudu Sentral untuk turut membantu menjaga kebersihan terminal itu bagi keselesaan bersama.

Sementara itu tinjauan Bernama di terminal bas turut mendapati para pengguna sangat berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan yang sangat mesra pengguna. Seorang warga emas, K.P Lim, 66, berkata persekitaran di Pudu Sentral sekarang sangat berbeza berbanding dahulu memandangkan ia kini dilengkapi dengan pendingin hawa dan tidak bising.

"Dahulu (Puduraya) sangat panas, sangat bising. Macam Pak Cik, orang tua sangat tidak selesa keadaan seperti itu. Pak Cik sangat berpuas hati dengan penambahbaikan kemudahan di sini. Memang sangat berbeza kalau dibandingkan dengan yang dulu," katanya. Bagi Maimunah Ahmad Pardi, 55, kini persekitarannya yang bersih dan nyaman membolehkan orang ramai menunggu bas dalam keadaan yang selesa walaupun terpaksa menunggu lama.

Sementara itu Nurul Huda Helmy, 22, yang membantu ibunya berniaga di terminal bas itu berkata wajah baru Puduraya sedikit sebanyak membantu meningkatkan perniagaan ibunya yang telah beroperasi di terminal itu sejak 26 tahun lepas.

"Kalau dulu hendak dapat RM200 sehari pun susah. Sekarang dalam satu hari saya boleh mendapat RM500. Dengan persekitaran yang baru ini, terminal ini lebih dikunjungi dan mereka akan datang membeli di kedai, dan kamipun seronok berniaga," katanya.

Turut sama pada majlis itu ialah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar dan Pengerusi UDA Holdings Berhad Datuk Nur Jazlan Mohamed. -BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan