Noh Bidas Selangor Keluar Kenyataan Bercanggah Dengan Sultan

Diterbitkan: Sabtu, 27 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar membidas sikap Kerajaan Selangor yang dilihat sering mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Beliau berkata sikap seperti itu boleh menyebabkan rakyat di negeri berkenaan keliru terutamanya apabila ia membabitkan isu-isu sensitif atau hal yang berkaitan dasar.

Katanya lebih membimbangkan sekiranya perkara itu berterusan, institusi beraja yang selama ini menjadi simbol perpaduan rakyat berbilang kaum akan mula dipersoalkan pelbagai pihak.

"Saya tengok kerajaan negeri sekarang banyak sangat berpolitik dan suka keluar kenyataan bercanggah dengan Tuanku dalam banyak perkara bermula dengan pelantikan Setiausaha Kerajaan negeri yang baru hinggalah isu gereja.

"Kenyataan yang berubah-ubah menunjukkan berlaku banyak percanggahan dalam pelbagai keputusan yang diambil kerana baik Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP atau PAS, masing-masing tidak mahu mengalah," katanya kepada pemberita di sini selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama media Selangor di sini, Jumaat.

Noh, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, berkata isu terbaru berhubung percanggahan itu ialah penubuhan Majlis Syura berkaitan kes pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) yang didakwa oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai titah Sultan Selangor.

Sultan Sharafuddin dalam satu kenyataan melalui Setiausaha Sulit baginda Datuk Mohamad Munir Bani berkata baginda tidak menitahkan berkenaan penubuhan Majlis Syura. Katanya kerajaan Selangor kemudiannya menukar jawatankuasa terbabit kepada Gerak Kerja Pendengaran.

"Tindakan dan sikap kerajaan negeri sekarang ibarat sebuah kereta yang hanya menukar cat baru di luaran saja untuk mengaburi prestasi kenderaan yang tidak memberangsangkan dan kegagalan menguruskan negeri dengan baik," katanya.

Noh berkata antara contoh tindakan itu termasuklah selepas slogan 'Merakyatkan Ekonomi Selangor' menemui kegagalan, ditukar pula kepada 'Selangorku Sayang' serta nama Universiti Industri Selangor yang ditukar kepada Universiti Selangor yang tidak membawa apa-apa perubahan. -BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 23 Oktober 2017 5:54 PM

Adam, Ezlynn Tuduh Menuduh! Mana Satu Betul?

Isnin, 23 Oktober 2017 4:10 PM

Kiriman Akhir Sebelum Karam

Isnin, 23 Oktober 2017 2:30 PM

Mona Bukan Kehidupan Saya - Shahir

Isnin, 23 Oktober 2017 1:31 PM

Tragedi Tanah Runtuh: Semua Mayat Dijumpai

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Kolumnis

iklan

Iklan