Maksimumkan Hukuman Pembunuh Kanak-Kanak

Diterbitkan: Sabtu, 27 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUNUH, kerat dan buang - itu adalah pengakhiran kepada riwayat seorang wanita, Siti Sando yang berasal dari Indonesia, sebuah negara yang berkongsi rumpun bahasa dan tidak begitu jauh budayanya dengan kita.

Mayat wanita malang berusia 35 tahun itu yang dikatakan dikerat kepada 15 bahagian sudah berada dalam keadaan reput dan berbau busuk semasa dijumpai kerana dianggarkan telah dibunuh selama seminggu sebelumnya.

Penemuan mayat itu hanya terbongkar selepas pengurus bangunan tempat di mana mayat ditemui menjumpai sebelah kaki kiri manusia di dalam mangkuk tandas di sebuah rumah yang tidak berpenghuni.

Paling menyayat hati adalah apabila anak lelaki Siti, Mohd Shukri yang hanya berusia dua tahun menerima nasib yang sama dengan ibunya, sedangkan dia terlalu kecil untuk mengerti akan dunia di sekitarnya.

Siasatan demi siasatan dan tindakan pantas oleh pihak polis akhirnya merungkai misteri pembunuhan kejam tersebut apabila tiga lelaki Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pada Jumaat lalu.

Dua daripada mereka didakwa atas tuduhan membunuh manakala seorang lagi yang masih boleh digelar remaja didakwa atas tuduhan melupuskan mayat dua beranak tersebut.

Abd Razak Tofazzal Hossain, 29, didakwa atas kesalahan membunuh Siti, selain turut berhadapan dengan tuduhan membunuh Mohd Shukri yang didakwa dilakukan bersama-sama dengan rakan senegaranya, Mmd Ripon Mandal, 26.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada antara pukul 11 pagi dan 5 petang, di rumah bernombor 40, tingkat 5, Blok Chrysaa, Pangsapuri Astaria, Taman Kosas, Ampang.

Mereka kini berhadapan dengan hukuman mati mandatori seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, sekiranya disabitkan bersalah di bawah tuduhan tersebut.

Rakan yang paling muda pula, Mosharof Hossain, 23, menghadapi tuduhan melupuskan mayat dua beranak itu pada antara pukul 11.20 pagi, 29 Julai lalu dan 11 pagi, 3 Ogos lalu dengan niat mahu melindungi individu yang melakukan jenayah tersebut daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Nasib yang menimpa Mohd Shukri juga terjadi seorang lagi kanak-kanak yang berusia sebayanya, M. Thevanesh bersama dua kakaknya, M. Nivyatharshini, 5, dan M. Renisha, 3.

Nyawa mereka - yang tidak boleh ditukar ganti - hilang dipercayai di tangan bapa sendiri, R. Munesuaran, 29, yang telah didakwa atas jenayah tersebut pada Jumaat di Hospital Daerah Kluang, Johor tempat dia menerima rawatan.

Munesuaran didakwa melakukan kesalahan itu di kolam air yang terletak di Ladang Lambak/Elaeis, Jalan Mengkibol, Kluang pada antara pukul 6.30 petang dan 7.30 malam, 22 Ogos lalu.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, tiga beradik itu dikatakan mati lemas, selepas ditolak ke dalam kolam oleh Munesuaran yang merupakan seorag pemandu traktor di ladang itu.

Kolam tersebut hanya terletak kira-kira 500 meter daripada rumah mereka dan tiga beradik itu dikatakan di bawa ke kolam itu selepas berlaku perselisihan faham antara Munesuaran dengan isterinya.

Semasa melakukan kejadian itu, Munesuaran dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol dan dia juga dikatakan cuba membunuh diri dengan meminum racun sebelum ditangkap oleh pihak polis.

Kematian adalah sesuatu yang pasti dan malaikat maut pasti akan 'berkunjung' tidak kira di mana kita bersembunyi, namun cara kematian yang berlaku kepada Siti adalah sesuatu yang tidak dapat diterima oleh akal waras.

Siapakah yang tergamak mahu memotong jasad lengkap seorang wanita - yang diperlakukan seperti ayam - lalu dibuang ke dalam lubang tandas yang penuh dengan pelbagai bakteria dan kotoran - mengambil kira penggunaannya - tanpa sebarang perasaan belas?

Kejadian bunuh dan kerat-kerat bukanlah sesuatu yang baru kerana apabila penulis membaca berita mengenai kematian Siti, penulis teringatkan peristiwa yang berlaku kepada wakil rakyat Pahang, Datuk Mazlan Idris yang dibunuh dan dikerat kepada 18 bahagian pada tahun 1993.

Tetapi, penulis lebih terkesan dengan apa yang menimpa kepada Mohd Shukri, Thevanesh, Nivyatharshini dan Renisha kerana mereka 'pergi' dalam usia yang sangat muda di saat dunia mereka sepatutnya diisi dengan gelak ketawa tanpa memikirkan masalah kewangan, politik mahupun isu sosial di negara.

Mereka terlalu muda untuk memahami apa yang berlaku di sekitar termasuklah permasalahan yang dihadapi oleh ibu atau bapa masing-masing dan adalah tidak adil untuk mereka ini sama-sama 'dihukum' dengan kesilapan - jika ada - yang dilakukan oleh seorang dewasa.

Mabuk? Untuk penulis itu bukan satu alasan untuk membela diri daripada kesilapan yang telah berlaku kerana tiada siapa yang dapat memaksa seseorang untuk minum minuman keras itu jika bukan individu tersebut yang membenarkan minuman itu masuk ke dalam mulut, melalui kerongkok sebelum turut ke perut.

Apapun, pendakwaan terhadap mereka yang didakwa melakukan sesuatu 'di luar kebiasaan' telah dilakukan dan ia menjadi permulaan kepada keadilan untuk mangsa manakala mereka yang didakwa, gunakanlah peluang sebaik-baiknya untuk menegakkan kebenaran , jika benar kesalahan itu tidak dilakukan.

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan