Puteri Umno Gerakkan Anggotanya Pantau Harga Barang

Diterbitkan: Jumaat, 26 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SUNGAI PETANI: Pergerakan Puteri Umno menggerakkan anggota-anggotanya untuk memantau kenaikan harga barang pada musim perayaan ini bagi menyalurkan maklumat kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Naib Ketuanya Shahanim Mohd Yusof berkata ramai anggota Puteri Umno yang menyertai persatuan pengguna dan dilantik sebagai pegawai untuk memantau harga barangan.

"Ahli-ahli Puteri menjadi mata dan telinga KPDNKK. Kalau harga naik kita cepat respons... kalau harga barang di kampung naik mendadak, ahli-ahli kita akan inform (pihak yang berkaitan). Kita sentiasa ada info. Ahli Puteri ada di setiap kampung, taman dan cawangan," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata jika harga gula naik 10 sen, orang ramai di bandar tidak begitu merasainya tetapi peniaga-peniaga kecil di kampung-kampung begitu terasa dengan kenaikan itu.

"Sebab itu saya harap kerajaan kena ambil berat dan beri perhatian kepada peniaga-peniaga yang akan cari untung dengan mudah dan sewenang-wenangnya menaikkan harga barang," katanya.

Shahanim, yang juga Yang Dipertua Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Kedah, turut meminta anggota Perdasama terutamanya di Kedah supaya bersama-sama membantu kerajaan dalam menangani isu kenaikan harga barang. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan