PBSB Jangka Kenderaan Meningkat 15 Peratus Sempena Raya, Kemerdekaan

Diterbitkan: Jumaat, 26 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGETOWN: Penang Bridge Sdn Bhd (PBSB) menjangkakan jumlah trafik di atas jambatan Pulau Pinang meningkat sehingga 15 peratus dengan kadar purata 85,000 buah kenderaan sehari berbanding 74,000 kenderaan sehari pada hari biasa.

Pengurus Kanan Operasi PBSB Asnor Ali berkata peningkatan itu dijangka akan berlaku pada dua atau tiga hari menjelang Hari Raya Aidilfitri dan PBSB telah menyediakan pelbagai langkah serta tip keselamatan bagi mengelakkan kesulitan kepada pengguna.

"Kesemua 24 lorong tol di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang akan dioptimumkan sepenuhnya bagi menampung jumlah kenderaan yang akan memasuki jambatan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Beliau berkata bagi melancarkan operasi PBSB juga menyediakan 13 petugas tunggu sedia tambahan bersama kakitangan operasi yang terdiri daripada 60 jurutol, 24 Penang Bridge Ronda dan masing-masing lapan penyelia Pusat Komunikasi dan penyelia tol.

"Pihak Penang Bridge Ronda juga menawarkan bantuan kepada kenderaan yang mengalami kerosakan kecil dan berupaya menarik keluar kenderaan yang terlibat dalam kemalangan atau mengalami kerosakan dalam masa 20 minit dari waktu kejadian," katanya.

Katanya PBSB juga menyediakan dua kenderaan tunda di kawasan yang strategik di pintu masuk jambatan dari arah tanah besar dan arah pulau dengan keupayaan menarik bebanan seberat lima tan dan 40 tan bagi mengambil tindakan pantas mengeluarkan halangan di atas jambatan.

Selain itu PBSB juga mengedarkan risalah tip-tip keselamatan Jambatan Pulau Pinang yang merupakan sebahagian daripada aktiviti berterusan yang dirancang dalam program kempen keselamatan dan akan dilaksanakan sepanjang tahun ini.

Orang ramai juga dinasihatkan agar merancang perjalanan bagi mengelak dari terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sepanjang cuti perayaan serta mematuhi arahan papan tanda dan mesej peringatan yang disampaikan melalui papan tanda dan paparan elektronik (VMS).

Bagi mendapatkan maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi BRIDGELINE di talian 1300-1300-03 atau taipkan khidmat pesanan ringkas (SMS) ke OTIM bagi mendapatkan maklumat segera keadaan trafik di atas Jambatan Pulau Pinang. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan