Pakatan Rakyat Mahu SPR Beri Jaminan Dakwat Kekal Dilaksanakan - Berita Semasa | mStar

Pakatan Rakyat Mahu SPR Beri Jaminan Dakwat Kekal Dilaksanakan

Diterbitkan: Jumaat, 26 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA:Pakatan Rakyat mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan bahawa penggunaan dakwat kekal akan diguna pakai pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan bukannya sekadar menabur janji kosong.

Bagaimanapun, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua menyambut baik cadangan SPR untuk mempertimbangkan semula cadangan itu dan bersedia mengadakan rundingan dengan suruhanjaya tersebut mengenai perkara ini.

"Kita mahu ia benar-benar dilaksanakan kerana tidak mahu ditipu lagi seperti sebelum ini. Kita menyokong tindakan SPR tetapi tidak pasti sama ada mereka serius ingin berbuat demikian," kata Ahli Parlimen Batu itu kepada mStar Online, Jumaat.

Menurut Tian Chua, penggunaan dakwat kekal lebih terbukti ketelusannya berbanding sistem biometrik yang masih belum berupaya merekodkan data kesemua penduduk di negara ini selain menelan kos yang tinggi.

Pada Pilihan Raya Umum PRU ke-12, SPR meluluskan penggunaan dakwat kekal buat pertama kalinya bagi meyakinkan rakyat terhadap ketelusan suruhanjaya itu dalam memastikan pilihan raya bersih dan adil.

Bagaimanapun penggunaannya dibatalkan beberapa hari sebelum proses pengundian atas faktor keselamatan.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, kesediaan SPR untuk mempertimbangkan penggunaan dakwat kekal membuktikan mereka akur dengan tuntutan dikemukakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julali lalu.

"Saya harap mereka bukan saja bersedia untuk berunding tetapi beriltizam untuk melaksanakan cadangan ini. Penggunaan dakwat kekal boleh dilaksanakan cuma kadang-kadang sikap berat-sebelah yang menghalang ia daripada direalisasikan," katanya.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, penggunaan dakwat kekal boleh menangani masalah pengundi berganda dan telah dipratikkan di negara Komanwel.

"Saya ingin bertanya kepada SPR...bolehkah sistem biometrik memastikan setiap pengundi tidak mengundi lebih dari sekali? Sistem itu belum terbukti keberkesanannya...buat apa nak habiskan wang begitu besar," ujarnya.

Beliau turut menyatakan rasa kesal kerana pada awalnya, SPR membantah sekeras-kerasnya cadangan itu sehingga Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof memberitahu penggunaan dakwat kekal tiada dalam undang-undang.

"Saya harap perkara ini menjadi pengajaran kepada SPR. Sehubungan itu, kami tetap menganggap dakwat kekal relevan untuk diguna pakai bagi memastikan pilihan raya yang lebih telus dan adil," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw menyokong apa jua kaedah yang dilaksanakan SPR pada pilihan raya nanti asalkan ianya terbukti bersih dan adil.

"Saya tidak membantah penggunaan sistem biometrik mahupun dakwaan kekal tetapi ia perlu dilakukan dengan cara baik demi kepentingan rakyat di negara ini," katanya.

Tambah Ahli Parlimen itu, seperti yang diakui pengerusi SPR, penggunaan dakwat kekal kurang bermasalah jika dibandingkan dengan sistem biometrik yang kelihatan sempurna dari segi teorinya tetapi wujud kelemahan apabila diamalkan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan