Majlis Peguam Diminta Nyatakan Pandangan Tindakan Anwar Di Mahkamah

Diterbitkan: Jumaat, 26 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam telah diminta menyatakan pandangannya berhubung tindakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang enggan memberi keterangan bersumpah dalam perbicaraan kes liwat dengan memilih memberi keterangan dari dalam kandang tertuduh.

Perkara ini diajukan oleh Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainuddin kerana beliau ingin tahu apa pendirian Majlis Peguam terhadap tindakan Anwar.

"Dia (Anwar) tidak bersumpah. Jadi, saya hendak Majlis Peguam jelaskan...apa yang berdiam diri sampai tiga, empat hari sehingga rakyat tertanya-tanya," katanya kepada Bernama.

Anwar memilih untuk memberi keterangan di kandang tertuduh bagi membela diri terhadap tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan yang bermula Isnin lepas.

Ketika prosiding bermula, Karpal Singh yang mengetuai pasukan pembelaan memberitahu mahkamah anak guamnya akan memberi keterangan dari kandang tertuduh.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata Anwar mempunyai tiga pilihan memberi keterangan di kandang saksi di mana pihak pendakwaan boleh menyoal balas beliau; memberi keterangan di kandang tertuduh di mana pihak pendakwaan tidak boleh menyoal balas tertuduh tetapi semasa membuat keputusan mahkamah boleh mengambil kira fakta yang pihak pendakwaan tidak memeriksa balas tertuduh; atau memilih untuk berdiam diri, iaitu tidak memberi sebarang keterangan.

Sementara itu, Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata Anwar harus berani memberi kenyataan bersumpah dan disoal balas.

"Kenapa Anwar tidak mahu disoal siasat oleh pihak pendakwa raya, jikalau beliau (Anwar) seorang yang teraniya kenapa perlu takut," katanya.

Beliau juga mempertikaikan mengapa peguam-peguam yang lantang mengkritik kerajaan hanya berdiam diri mengenai tindakan Anwar mempersoal kredibiliti hakim yang mengendalikan kesnya ketika membaca keterangan bertulis beliau.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan