Lapan Pelajar Terima Biasiswa BNYES

Diterbitkan: Khamis, 25 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Khairy Jamaluddin (tengah) beramah mesra dengan lapan penerima Biasiswa Pendidikan Pemuda Barisan Nasional (BNYES) di 
Kuala Lumpur, Khamis. - FOTO THE STAR/ROHAIZAT DARUS
Khairy Jamaluddin (tengah) beramah mesra dengan lapan penerima Biasiswa Pendidikan Pemuda Barisan Nasional (BNYES) di Kuala Lumpur, Khamis. - FOTO THE STAR/ROHAIZAT DARUS

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) pada Khamis menyampaikan anugerah Biasiswa Pendidikan Pemuda BN (BNYES) kepada lapan pelajar kumpulan pertama bernilai RM300,000 untuk melanjutkan pengajian ke 12 institusi pendidikan tinggi swasta di seluruh negara.

Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, sebagai permulaan biasiswa tersebut dianugerahkan kepada lapan daripada 100 pemohon berkelayakan yang disasarkan pada tahun ini.

Mereka adalah Mohd Taufik Mohd Mokhtar, Muhammad Asyraf Abdul Samad, Nur Azlin Mohamad Fauzi, Silmi Izzuan Simi, Nur Farhana Hussen, Michelle Chong Sook Yee, Lee Yue dan Tanaraj Balachandram.

"Selepas mengambil kira sesi pengajian akan bermula pada September ini, kita menganugerahkan biasiswa ini kepada lapan pemohon terlebih dahulu manakala bakinya akan diberikan sebelum hujung tahun ini," katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Khamis.

Menurut Khairy, sehingga hari ini, sebanyak 500 permohonan telah diterima tetapi ada beberapa permohonan terpaksa ditolak secara automatik kerana gagal menepati kriteria ditetapkan.

"Jawatankuasa diketuai pakar akademik yang kita tubuhkan masih lagi dalam proses menilai permohonan yang benar-benar layak. Kita mahu pemohon meneliti dahulu kelayakan mereka sebelum memohon untuk mengelakkan daripada tidak dipilih," ujarnya.

Jelas beliau, biasiswa membabitkan program pengajian diploma, ijazah dan lepas ijazah dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM17.6 juta akan diutamakan kepada pemohon daripada golongan tidak berkemampuan.

"Pelajar yang terpilih tidak perlu membayar yuran pengajian tetapi harus sekurang-kurangnya memperoleh markah sebanyak 50 peratus untuk setiap subjek. Jika gagal, mereka terpaksa membayar balik biasiswa itu," katanya.

Khairy berkata, syarat sedemikian ditetapkan bagi memastikan pelajar memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran demi mencapai keputusan terbaik.

"Langkah itu dilihat sebagai usaha tepat untuk mengubah corak kehidupan pelajar yang menerima biasiswa ini pada masa hadapan. Jadi mereka perlu serius dan komited terhadap kursus yang dipohon," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pemberian biasiswa tersebut bukan untuk tujuan politik sebaliknya dilakukan Pemuda BN untuk membantu pelajar cemerlang kurang berkemampuan tanpa mengira bangsa dan agama.

"Ibu bapa tidak perlu bimbang...walaupun anda menyokong parti lain, biasiswa ini akan diberikan kepada sesiapa saja yang layak," tambahnya.

Salah seorang penerima, pelajar tahun pertama Diploma Teknologi Bunyi dan Muzik dari Universiti Lim Kok Wing, Nur Farhana, 18, berkata, dia tidak menduga antara yang bernasib baik terpilih untuk menerima biasiswa itu.

"Saya berasa gembira kerana dengan adanya biasiswa ini saya dapat merealisasikan impian dalam bidang muzik sejak di bangku sekolah menengah," kata bekas pelajar Sekolah Menengah Perempuan Sultan Ibrahim, Johor Baru.

Tanaraj, 18, yang akan melanjutkan pengajian dalam bidang Teknologi Maklumat di Kolej Segi, September ini menyifatkan pemberian biasiswa itu sebagai langkah tepat dilakukan Pemuda BN terhadap generasi muda di Malaysia.

"Ia langkah baik...saya kini berpeluang mendalami bidang teknologi maklumat. Saya amat bertuah kerana terpilih," ujar anak kelahiran Kuala Lumpur ini.

Sementara itu, Michelle Chong, 20, masih lagi dalam dilema sama ada mahu menerima biasiswa tersebut atau sebaliknya kerana sudah menerima tawaran daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).

"Sukar bagi saya untuk membuat keputusan tapi saya akan pertimbangkan tawaran ini," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan