Kontroversi Gereja : Pertemuan Tiga Pihak Lancar

Diterbitkan: Khamis, 25 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Sesi pendengaran sulung Gerak Kerja Pendengaran bagi menyelesaikan isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) bermula di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) pada pukul 2 petang Khamis.

Wakil JAIS merupakan kumpulan pertama tiba yang diketuai oleh Pengarahnya, Marzuki Husin dan tiga yang lain.

Mereka dilihat meninggalkan bangunan tersebut pada pukul 3.06 petang.

Ketika ditemui pemberita untuk mendapat komen JAIS berhubung sesi pendengaran tersebut, Marzuki kot berwarna hitam sekadar tersenyum dan enggan memberikan sebarang ulasan.

Dalam pada itu, pada pukul 2.30 petang empat wakil penganjur program makan malam 'Thanksgiving' daripada Harapan Komuniti, bersama dua orang peguam dilihat memasuki bilik mesyuarat di bangunan SSAAS.

Salah seorang daripada wakil Harapan Komuniti adalah 'Sophia' iaitu wanita utama yang dipaparkan dalam klip video yang dimuat naik di YouTube ketika pemeriksaan dijalankan oleh pegawai penguat kuasa JAIS ke atas DUMC pada 3 Ogos lalu.

Kumpulan kedua ini dilihat meninggalkan bilik mesyuarat pada pukul 4.05 petang.

Wakil Harapan Komuniti juga enggan memberikan sebarang ulasan kepada kira-kira 30 wartawan dan jurugambar yang mengerumuni mereka sebaliknya terus menaiki lif untuk meninggalkan bangunan tersebut.

Dalam pada itu, peguam yang mewakili Harapan Komuniti tersebut, Kenny berkata pertemuan tersebut berlangsung dalam keadaan yang baik.

“Kami berharap sangat ada pertimbangan, niat dan harapan yang baik daripada Gerak Kerja Pendengaran ini,” katanya.

Ditanya sama ada pihaknya akan dipanggil semula pada masa akan datang Kenny berkata beliau tidak tahu mengenainya dan akan akan memaklum kepada media sekiranya ada pertemuan selanjutnya.

”Kami akan bekerjasama dengan Gerak Kerja Pendengaran ini,” katanya.

Sesi pendengaran gerak kerja tersebut berlangsung selama satu jam bagi setiap kumpulan dan kenyataan mereka didengar secara berasingan oleh ahli panel yang dilantik.

Gerak kerja tersebut dianggotai oleh tiga ahli panel iaitu, Abdul Khalid sendiri, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid dan Timbalan Mufti, Datuk Abdul Majid Omar.

Sementara itu, tidak ada sidang media diadakan oleh pejabat menteri besar selepas pertemuan tersebut.

Isnin lalu, Abdul Khalid mengumumkan penubuhan Gerak Kerja Pendengaran bagi mengkaji isu-isu yang membimbangkan masyarakat Islam dan komuniti bukan Islam di Selangor untuk mewujudkan garis panduan demi memastikan sikap hormati menghormati dan harmoni pelbagai kaum dan agama terus terpelihara.

Beliau turut berkata, majlis itu akan mendapatkan maklumat daripada JAIS dan penganjur majlis makan malam di gereja itu dan sekiranya perlu akan memanggil 12 orang Islam yang menghadiri majlis berkenaan ketika pemeriksaan itu dilakukan.

Katanya, majlis itu juga akan turut mendengar dan meneliti sedalam-dalamnya laporan penuh oleh JAIS termasuk memeriksa maklumat, bukti dan pita rakaman mengenai pemeriksaan itu.

Pada 3 Ogos lalu, penguat kuasa JAIS melakukan pemeriksaan ke atas DUMC selepas mendapat maklumat bahawa terdapat orang Islam turut menghadiri majlis di gereja berkenaan.

Berpandukan kepada siasatan awal mereka yang terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan