Kelayakan Diperluaskan, Peluang Rakyat Di Luar Malaysia Mengundi

Diterbitkan: Khamis, 25 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang berada di luar negara akan layak mengundi sebagai pengundi pos apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan penambahbaikan kepada sistem sedia ada.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya sedang dalam kajian untuk membolehkan pengundi berdaftar yang berada di luar negara turut sama mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

"Kita sedang dalam perancangan untuk melakukan penambahbaikan terhadap sistem sedia ada terutama panggunaan undi pos kepada rakyat Malaysia yang berada di luar negara sama ada pelajar, penjawat awam mahupun pekerja swasta.

"Kita ingin luaskan penggunaan pengundi pos terutama kepada rakyat Malaysia yang berada di luar negara kerana mereka juga mempunyai hak sebagai pengundi," katanya pada sesi taklimat dan soal jawab bersama media mengenai sistem pilihan raya Malaysia dan tuntutan Bersih 2.0 di Wisma Bernama, di sini, Khamis.

Menerusi undang-undang pilihan raya sedia ada, hanya dua kategori rakyat Malaysia yang berada di luar negara layak menggunakan sistem undi pos iaitu penjawat awam dan golongan pelajar.

Selain itu menurut Abdul Aziz, menerusi perancangan SPR, rakyat Malaysia yang berada di luar negara perlu mendaftar sebagai pengundi terlebih dahulu sebelum ditukar kepada kategori pengundi pos.

"Mereka boleh daftar ketika berada di dalam negara ataupun di pejabat kedutaan Malaysia di negara-negara berkenaan.

"Bila mereka sudah daftar sebagai pengundi, baru mereka boleh memohon ditukarkan sebagai pengundi pos," katanya.

Sementara itu Abdul Aziz berkata SPR juga akan mengkaji semula status pengundi pos bagi anggota tentera dan polis.

Katanya kedua-dua anggota keselamatan berkenaan berkemungkinan akan dibenarkan mengundi awal yang prosesnya sama seperti pengundian awam.

"Kita dalam proses untuk benarkan anggota tentera dan polis menjalankan pengundian lebih awal berbanding kaedah undian pos.

"Ini bermakna tiada lagi sampul surat kertas undi akan dikeluarkan sebaliknya kita akan kumpulkan mereka dalam kumpulan yang besar untuk dijalankan proses pembuangan undi seperti biasa," katanya.

Namun menurutnya sistem undi pos akan terus digunapakai kepada anggota tentera dan polis yang sedang menjalankan tugas menjaga sempadan negara sama ada di darat atau di perairan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan