Persatuan Bekas Tentera Mahu Esso Malaysia Dimiliki Pihak Tempatan

Diterbitkan: Rabu, 24 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persatuan Bekas Tentera Malaysia berharap Esso Malaysia Bhd akan dijual kepada pihak-pihak tempatan kerana ia merupakan aset strategik dan berharga,yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi domestik.

Ketika membuat saranan itu, Presidennya, Datuk Muhammad Abdul Ghani, berkata ExxonMobil International Holdings haruslah mempertimbang langkah itu dengan menjual 65 peratus kepentingannya dalam Esso Malaysia kepada pihak tempatan.

Beliau juga meminta kerajaan menghentikan penjualan kepada pihak asing.

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berminat untuk membeli ekuiti dalam Esso Malaysia.

LTAT memiliki sebuah anak syarikat, Boustead Holdings Bhd, yang bergiat dalam perniagaan petroleum hiliran.

Saranan persatuan itu dibuat susulan rancangan ExxonMobil untuk menjual 65 peratus kepentingannya dalam syarikat senaraian awam perniagaan petroleum, Esso Malaysia, dan anak syarikat milik penuhnya, ExxonMobil Malaysia Sdn Bhd (EMMSB) dan ExxonMobil Borneo Sdn Bhd (EMBSB) kepada San Miguel Corp dari Filipina dengan harga RM614.25 juta atau RM3.50 sesaham.

Muhammad berkata kepada Bernama pada Rabu ExxonMobil harus mengambil kira faedah meluas yang terakru kepaDa negara dan rakyat Malaysia dan tidak semata-mata memberikan tumpuan kepada keuntungan kewangan daripada penjualan ekuiti itu kepada pihak asing.

Menjual saham-sahamnya kepada sebuah syarikat asing, akan hanya mengakibatkan pengaliran keluar dana, tegasnya.

Bagaimanapun, pemilikan Esso Malaysia oleh sebuah syarikat tempatan akan menjana kesan limpahan kepada ekonomi dengan menyokong usahawan tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan bagi rakyat tempatan dan menyokong perkembangan industri petroleum hiliran negara.

Kata beliau ExxonMobil perlu mengkaji aspek-aspek ini yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporatnya, terutamanya memandangkan Esso Malaysia telah beroperasi di Malaysia berdekad-dekad lamanya sejak 1893.

Dilaporkan ExxonMobil International mahu menjual ekuitinya dalam Esso Malaysia kerana marginnya yang agak rendah dan dengan demikian memilih untuk memberikan tumpuan kepada bidang huluan iaitu cari gali dan pengeluaran minyak.

Muhammad menegaskan bahawa jika Esso Malaysia dijual kepada LTAT yang telah membuat tawaran untuk membeli ekuiti tersebut, keuntungannya bukan sahaja terakru kepada LTAT, malah juga kepada 150,000 anggota Persatuan Bekas Tentera melalui dividen tahunan daripada keuntungan yang diraih oleh LTAT.

Anggota-anggota Persatuan Bekas Tentera Malaysia mempunyai saham dalam LTAT.

Beliau berkata ExxonMobil International harus menimbang semula penjualan itu kerana asetnya termasuk kilang penapisan Port Dickson (berkapasiti 88,000 tong sehari), kepentingan ekuiti dalam 10 terminal pengagihan bahan api (7 aktif), kira-kira 560 stesen jualan runcit bahan api berjenama (420 milik syarikat), serta perniagaan perindustrian dan borong, dan bahan api penerbangan ExxonMobil, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan yang sangat besar bagi warga tempatan, terutamanya bagi bekas tentera.

Muhammad berkata anggota-anggota persatuan juga mahu kerajaan campur tangan untuk menghalang penjualan itu.

Beliau menyebut bagaimana usahawan kecil dan sederhana boleh juga menggunakan 560 stesen jualan runcit bahan api sebagai pangkalan untuk menjual produk mereka.

Selain itu, Boustead milik LTAT bukan pendatang baharu dalam perniagaan runcit petroleum kerana ia juga mengendalikan stesen minyak BHP, katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata minggu ini beliau telahpun menghubungi pegawai-pegawai ExxonMobil di Amerika Syarikat melalui telefon agar mempertimbang penjualan Esso Malaysia kepada LTAT, bukan kepada pihak asing kerana syarikat-syarikat tempatan juga berkeupayaan untuk mengendalikan syarikat petroleum hiliran.

LTAT dilaporkan masih berminat untuk membeli ekuiti ExxonMobil Holdings dalam Esso Malaysia, meskipun syarikat petroleum Amerika itu telah mencapai persetujuan untuk menjual kepentingan kepada syarikat pembuat bier terkenal dari Filipina, San Miguel Corp, yang juga konglomerat yang amat pelbagai.

Penjualan 65 peratus kepentingan ExxonMobil dalam Esso Malaysia tertakluk kepada kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; dan Suruhanjaya Sekuriti.- BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan