Nama Majlis Syura Ditukar Kepada Jawatankuasa Pendengaran

Diterbitkan: Rabu, 24 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Selangor membuat keputusan menukar nama Majlis Syura yang ditubuhkan untuk menyelesaikan isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Gereja Methdosit Damansara Utama (DUMC) kepada Jawatankuasa Pendengaran selepas mendapat teguran daripada pihak istana pada Selasa.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan pada malam Selasa, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri kesal dengan kekeliruan berhubung penggunaan nama Majlis Syura bagi jawatankuasa yang ditubuhkan untuk mencari penyelesaian isu pemeriksaan JAIS terhadap DUMC pada 3 Ogos lalu.

“Justeru kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk mengubah nama jawatankuasa tersebut kepada Jawatankuasa Pendengaran demi mengelakkan sebarang pertindihan dengan Majlis Syura Negeri Selangor yang diterajui Majlis Agama Islam Selangor (MAIS),” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Bagaimanapun Abdul Khalid berkata, matlamat asal, gerak kerja dan keahlian jawatankuasa tersebut tetap sama dan selaras dengan perbincangan antara beliau dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Kerajaan negeri berharap perubahan nama yang diputuskan akan merungkai sebarang kekeliruan dan meneruskan segala usaha mencari penyelesaian berhubung isu gereja dan JAIS bagi kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan negeri tetap akan akur kepada segala nasihat dan titah yang diterima secara langsung daripada Sultan Selangor serta bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan penyelesaian terbaik dalam isu ini,” katanya.

Pada petang Selasa, Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan berkata, baginda melahirkan rasa terkejut dan murka dengan tindakan Menteri Besar yang mengatakan penubuhan Majlis Syura adalah atas titah baginda.

Mohamad Munir dipetik sebagai berkata dalam pertemuan minggu lalu Abdul Khalid hanya mengatakan mahu bertemu dengan pengurusan Gereja Methodist Damansara Utama bagi mendapatkan penjelasan mengenai kontroversi pemeriksaan JAIS awal bulan ini.

Menurutnya, baginda langsung tidak titahkan Menteri Besar menubuhkan Majlis Syura, dan tuanku terkejut serta murka dengan apa yang berlaku.

Mohamad Munir berkata, pertemuan minggu lepas Menteri Besar turut mencadangkan kepada Sultan Selangor untuk memanggil pihak gereja untuk mendapatkan maklumat dengan membawa mufti negeri.

Tambah beliau, Majlis Syura tidak diperlukan kerana JAIS negeri itu juga mempunyai Mais dan Jabatan Mufti.

Pada Isnin, media massa melaporkan, bahawa Sultan Selangor telah menitahkan kerajaan negeri supaya menubuhkan majlis penasihat syura dalam usaha menyelesaikan pertikaian berhubung isu pemeriksaan terhadap DUMC oleh JAIS.

Semua media memetik Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai berkata bahawa baginda menitahkan demikian ketika beliau bersama Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid dan timbalannya, Datuk Abd Majid Omar menghadap baginda baru-baru ini.

Abdul Khalid berkata penubuhan Majlis Penasihat Syura tersebut dicadangkan oleh baginda minggu lalu dan beliau menjunjung titah serta nasihat baginda agar mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu ini secara berhemah dan memuaskan.

Majlis itu yang dianggotai Abdul Khalid, Tamyes dan Abdul Majid akan mengkaji isu-isu yang membimbangkan masyarakat Islam dan komuniti bukan Islam di Selangor untuk mewujudkan garis panduan demi memastikan sikap hormati menghormati dan harmoni pelbagai kaum dan agama terus terpelihara.

Abdul Khalid turut berkata, majlis itu akan mendapatkan maklumat daripada JAIS dan penganjur majlis makan malam di gereja itu dan sekiranya perlu akan memanggil 12 orang Islam yang menghadiri majlis berkenaan ketika pemeriksaan itu dilakukan.

Katanya, majlis itu juga akan turut mendengar dan meneliti sedalam-dalamnya laporan penuh oleh JAIS termasuk memeriksa maklumat, bukti dan pita rakaman mengenai pemeriksaan itu.

Abdul Khalid berkata kerajaan negeri Selangor mengulangi kesediaan untuk berbincang dan berdialog untuk menjaga keharmonian dan keamanan yang telah lama wujud di kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan