UPM Cipta Kaedah Baru Pembiakbakaan Orkid

Diterbitkan: Selasa, 23 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Pasukan penyelidik dari UPM: Nisha Nambiar, Chong Haw Eong, Profesor Dr Maziah Mahmood dan Zaliyatun Akhma Mat Yasin menunjukkan klon-klon orkid. - Foto THE STAR Oleh IBRAHIM MOHTAR
Pasukan penyelidik dari UPM: Nisha Nambiar, Chong Haw Eong, Profesor Dr Maziah Mahmood dan Zaliyatun Akhma Mat Yasin menunjukkan klon-klon orkid. - Foto THE STAR Oleh IBRAHIM MOHTAR

SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya mencipta kaedah bioteknologi terkini untuk penanaman orkid melibatkan pembiakbakaan, mempercepatkan proses pembungaan dan klon bunga itu mengeluarkan warna yang sebenar.

Profesor Dr Maziah Mahmood dari Jabatan Biokimia, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul berkata, penemuan kaedah terbaik itu adalah hasil penyelidikan selama 10 tahun dengan kos kira-kira RM500,000 daripada geran penyelidikan.

Katanya, kaedah baru itu dapat menghasilkan anak benih orkid dengan lebih efisien.

"Industri orkid adalah industri berjuta-juta ringgit. Malaysia merupakan negara yang kaya dengan kepelbagaian orkid yang unik dan eksklusif.

"Untuk menambah baik industri orkid supaya negara muncul sebagai pemain utama dunia, kita perlu menggunakan teknologi tinggi untuk memenuhi permintaan pasaran di samping memulihara orkid serta memelihara diversiti alam," katanya pada sidang akhbar di sini, Selasa.

Antara jenis-jenis orkid yang dihasilkan termasuk Dendrobium, Oncidium, Phalaenopsis, Mokara, Grammaatophyllum speciosum (Tiger orchid), Rhyncostylis retusa.

Mengulas mengenai kaedah bioteknologi baru itu, Maziah berkata, lebih banyak anak pokok orkid dapat dihasilkan dalam masa yang singkat dengan teknik terbaru pengklonan kultur tisu.

"Transformasi genetik menjadikan orkid UPM tahan penyakit, mengeluarkan bunga sepanjang tahun, mempelbagaikan warna bunga dan mengeluarkan bau," katanya.

Beliau menambah, teknologi UPM adalah lebih murah dan ia menggunakan bahan organik yang mesra alam seperti air kelapa, arang dan pisang.

Katanya, pihaknya mensasarkan kaedah bioteknologi itu sesuai untuk pekebun-pekebun kecil, pemilik tapak semaian dan peminat orkid.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Maziah di talian 012-387 1277 atau e-mel maziahm@biotech.upm.edu.my .

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan