8,000 Anggota Polis KL Bertugas Sepanjang Aidil Fitri - Berita Semasa | mStar

8,000 Anggota Polis KL Bertugas Sepanjang Aidil Fitri

Diterbitkan: Selasa, 23 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kira-kira 8,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari seluruh Kuala Lumpur dijangka bertugas sepanjang musim perayaan Aidilfitri kali ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata mereka bertugas bagi menjayakan Ops Sikap ke-24 yang bermula hari ini hingga 6 Sept dan Kempen Rumah Selamat yang dijalankan sempena musim perayaan.

"Ops Sikap dan Kempen Rumah Selamat kali ini adalah usaha semua unit di dalam PDRM sama ada anggota tugas am, anggota balai, kesemua mereka akan dikerahkan bertugas," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Ops Sikap dan Rumah Selamat di sini, Selasa.

Mohmad berkata jumlah kemalangan jalan raya khasnya kemalangan maut dan jumlah kematian dapat dikurangkan sekiranya pengguna jalan raya dapat mengambil inisiatif pemanduan berhemah.

Beliau berkata menurut statistik trafik Kuala Lumpur, sepanjang Ops Sikap ke-23, sebanyak 2,124 kemalangan jalan raya berlaku melibatkan 21 kematian.

"Berlaku peningkatan sebanyak 1.3 peratus jika dibandingkan dengan Ops Sikap ke-22 iaitu sejumlah 1,994 kemalangan telah direkodkan dengan sebanyak sembilan kematian," katanya.

Menurutnya PDRM tampil dengan beberapa pendekatan antaranya menetapkan kehadiran polis melalui konsep ronda dan statik di beberapa lokasi panas lebuh raya dan jalan persekutuan yang dijangka memberi impak positif kepada kempen keselamatan jalan raya. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan