Sultan Selangor Titah Tubuh Majlis Syura

Diterbitkan: Isnin, 22 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah menitahkan kerajaan negeri supaya menubuhkan majlis penasihat syura dalam usaha menyelesaikan pertikaian berhubung isu pemeriksaan terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 3 Ogos lepas.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata baginda menitahkan demikian ketika beliau bersama Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid dan timbalannya, Datuk Abd Majid Omar menghadap baginda baru-baru ini.

"Penubuhan Majlis Penasihat Syura ini dicadangkan oleh baginda minggu lalu dan saya menjunjung titah serta nasihat baginda agar mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu ini secara berhemah dan memuaskan.

"Pada masa sama, saya juga telah berjumpa dengan Mufti Selangor dan kami telah merumuskan formula untuk dirujuk oleh Majlis Syura," kata Abdul Khalid dalam satu kenyataan di sini, Isnin.

Majlis itu yang dianggotai Abdul Khalid, Tamyes dan Abdul Majid akan mengkaji isu-isu yang membimbangkan masyarakat Islam dan komuniti bukan Islam di Selangor untuk mewujudkan garis panduan demi memastikan sikap hormati menghormati dan harmoni pelbagai kaum dan agama terus terpelihara.

Abdul Khalid berkata majlis itu akan mendapatkan maklumat daripada JAIS dan penganjur majlis makan malam di gereja itu dan sekiranya perlu akan memanggil 12 orang Islam yang menghadiri majlis berkenaan ketika pemeriksaan itu dilakukan.

Katanya, majlis itu juga akan turut mendengar dan meneliti sedalam-dalamnya laporan penuh oleh JAIS termasuk memeriksa maklumat, bukti dan pita rakaman mengenai pemeriksaan itu.

"Keutamaan kerajaan Selangor ialah memastikan setiap aspek pentadbiran mematuhi prinsip keadilan, telus, amalan pentadbiran yang baik dan berintegriti," katanya.

Abdul Khalid berkata kerajaan negeri Selangor mengulangi kesediaan untuk berbincang dan berdialog untuk menjaga keharmonian dan keamanan yang telah lama wujud di kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan