Kementerian Kerja Raya Diminta Kaji Hapus Satu Tol Lebuh Raya Cheras-Kajang

Diterbitkan: Isnin, 22 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

HULU LANGAT: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta Kementerian Kerja Raya mengkaji kemungkinan memansuhkan satu daripada dua tol di Lebuh Raya Cheras-Kajang di sini.

Beliau berkata kajian itu perlu dibentang kepada Jemaah Menteri untuk perincian sebelum kerajaan memutuskan isu yang menjadi keluhan penduduk di sekitar kawasan itu.

"Saya sebut perkara ini sebab saya nak gambarkan kepada tuan-tuan bahawa apabila disebut 'Rakyat didahulukan,' kita benar-benar nak buat apa sahaja supaya rakyat merasakan beban mereka lebih ringan lagi dengan usaha kerajaan.

"Berhubung Tol Grand Saga, saya akan minta Menteri Kerja Raya untuk mengkaji perkara ini dengan mendalam, dan dibawa kepada mesyuarat Jemaah Menteri untuk dikaji kalau sekiranya kita mampu berbuat sesuatu berhubung dengan masalah tol tersebut," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama rakyat Selangor di Dataran Usahawan, Batu 14, Pekan Hulu Langat, Ahad.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih Datuk Johan Abd Aziz, yang juga Ketua Umno Bahagian Hulu Langat.

Najib berkata beliau perlu mengkaji setiap permohonan yang dikemukakan kepadanya dengan lebih mendalam sebelum membuat sebarang keputusan.

"Saya tak nak sebut ini (lulus) sebab ia libatkan implikasi kewangan yang besar, jadi kalau terus saja saya umum, saya tahu tepukan yang kuat akan kedengaran, tetapi sebagai Menteri Kewangan yang bertanggungjawab, saya akan kaji dahulu dengan mendalam, dan tunggulah masanya, kalau ada apa-apa pertimbangan yang baik, ia akan diumumkan," katanya.

Dalam ucapan beliau di depan lebih 5,000 orang, Najib turut memberi jaminan kerajaan akan menimbang untuk menaik taraf Hospital Kajang yang beroperasi lebih 100 tahun dan kini semakin uzur serta tidak mampu menampung ramai pesakit berikutan pertambahan bilangan penduduk di kawasan berkenaan.

Perdana Menteri membuat pengumuman itu berikutan permohonan ADUN Semenyih kerana penduduk sekitar cukup terbeban apabila perlu membayar dua tol kendalian syarikat konsesi Grand Saga Tol Sdn Bhd, yang masing-masing pada kadar RM0.90 dan RM1.10 dalam jarak dua kilometer.

Najib, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, berkata rakyat negara ini perlu bersyukur kerana kerajaan yang diterajui Barisan Nasional terbukti berkesan membawa perubahan seperti menangani isu ekonomi ketika beberapa negara maju, termasuk Amerika Syarikat, mengalami krisis.

"Ini bererti kalau kita tanya rakyat Malaysia, semuanya merasakan (keadaan) akan bertambah baik dan mereka mempunyai keyakinan serta perasaan bahawa jika kerajaan meneruskan hala tuju dan perancangan berdasarkan perancangan induk seperti GTP (Program Transformasi Kerajaan), ETP (Program Transformasi Ekonomi) dan RMK-10 (Rancangan Malaysia Kesepuluh), insya-Allah masa depan mereka akan bertambah baik," katanya.

Najib berkata keadaan ini cukup berbeza dengan negara maju lain yang mana peruntukan serta pencen rakyatnya dipotong, selain terpaksa bergantung kepada bantuan negara lain untuk menyuntik sumber kewangan bagi menyelesaikan kemelut ekonomi yang dihadapi.

"Tapi di Malaysia, bukan sahaja boleh bayar gaji, bonus separuh bulanpun boleh diberi kepada penjawat awam dan pesara kerajaan, malah yang tak bekerja dan sedang menimang cucu juga diberi bayaran RM500... inilah bertuahnya hidup di bumi Malaysia di bawah kerajaan Barisan Nasional," katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada fakir miskin, anak yatim dan warga emas, selain komputer riba 1Malaysia kepada penduduk terpilih dari kawasan Parlimen Hulu Langat.

Najib kemudian menunaikan solat Maghrib di Masjid Hishamuddin Alam Shah sebelum berangkat ke Masjid Jamek Kampung Pasir Baru, Semenyih yang terletak kira-kira 25 kilometer dari sini untuk solat Isyak dan Terawih, serta moreh bersama jemaah. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan