Pihak Berkepentingan Dipelawa Bekerjasama Tangani Isu Pemerdagangan Manusia - Hishammuddin

Diterbitkan: Sabtu, 20 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mempelawa pihak berkepentingan termasuk badan atau pertubuhan yang berperanan atau terlibat secara langsung berkaitan pemerdagangan manusia, bekerjasama dengan kementerian bagi menangani isu itu.

Beliau berkata persefahaman antara semua pihak perlu diperkukuh, dan kerjasama lebih terancang perlu dibentuk bagi memastikan gerak kerja yang lebih menyeluruh dalam membanteras isu berkenaan.

"Saya yakin pihak yang berkepentingan mempunyai maklumat untuk dikemukakan kepada pihak kementerian. Dengan perhubungan dan kerjasama yang lebih rapat, saya berpendapat usaha kita memerangi pemerdagangan dan penyeludupan manusia, termasuk wujudnya pertalian dengan kumpulan pengganas, akan dapat diperluaskan," katanya dalam satu kenyataan Sabtu.

Hishammuddin berkata isu berkaitan militan serta jenayah pemerdagangan atau penyeludupan manusia tidak boleh dilihat sebagai isu 'jauh' atau tidak mempunyai kaitan rapat atau secara langsung dengan negara ini.

Beliau berkata sehubungan itu, kementerian melipatgandakan usaha meningkatkan kerjasama dengan negara berkaitan serta yang menjadi destinasi seperti Australia dan United Kingdom. "Kita perlu mempunyai rantaian kerjasama yang kukuh dan padu dalam mencari kaedah terbaik untuk melumpuhkan kegiatan kumpulan yang tidak berperikemanusiaan ini.

"Segala bentuk ancaman dan kegiatan kumpulan militan serta sindiket antarabangsa ketika ini menunjukkan wujudnya keperluan untuk meningkatkan kawalan dan pemeriksaan di pintu masuk ke negara ini," katanya.

Hishammuddin berkata pelaksanaan proses biometrik sejak beberapa bulan lepas terhadap warga asing yang tiba ke negara ini serta keputusan merekodkan semua data pekerja asing termasuk pendatang tanpa izin, adalah langkah terbaik bagi meningkatkan kawalan keselamatan.

Beliau berkata menerusi rekod lengkap itu, pihak berkuasa seperti Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Imigresen akan mempunyai peluang lebih luas untuk menyiasat sesuatu kes berkaitan kegiatan militan atau pemerdagangan manusia.

"Saya bersyukur kerana daripada laporan yang saya terima, mereka ini semakin tertekan, dan mulai merasakan bahang daripada tindakan kita. "Perang terhadap sindiket ini akan kita perhebatkan, dan seluruh warga kementerian penuh komited terhadap agenda ini," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan