UM Tidak Dalam Mode Krisis - Naib Canselor

Diterbitkan: Jumaat, 19 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Universiti Malaya (UM) pada Jumaat menegaskan bahawa universiti tertua negara itu tidak pernah berada dalam situasi krisis ilmuan dan kepakaran sepertimana yang didakwa oleh Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM sebelum ini.

Naib Canselornya, Tan Sri Dr Ghauth Jasmon berkata, angka sebenar staf akademik yang meletak jawatan sejak 2009 hingga kini adalah hanya seramai 73 orang berbanding yang dilaporkan iaitu 146 orang.

Tegas beliau, dakwaan bahawa UM kini sedang berhadapan dengan krisis ilmuan sama sekali tidak benar apabila jumlah kemasukan staf akademik ke universiti itu adalah empat kali ganda berbanding staf yang keluar atas beberapa sebab.

"Angka tersebut adalah tidak benar. Sejak 2009 hingga 19 Ogos 2011 terdapat seramai 123 staf akademik meninggalkan perkhidmatan atas beberapa sebab.

"Daripada jumlah itu, 76 meletak jawatan, 43 bersara dan empat lagi meninggal dunia. Yang meletak jawatan pada tahun ini adalah seramai 15 orang," katanya pada sidang media di Bangunan Canselori UM di sini, Jumaat.

Dedah beliau lagi, majoriti daripada 76 staf akademik yang meletak jawatan itu terdiri di kalangan tenaga pengajar dari Fakulti Perubatan yang disifatkannya sebagai situasi biasa.

"Ini fenomena biasa bagi Fakulti Perubatan kerana kebanyakan daripada mereka pergi ke hospital biasa kerana tawaran (gaji) yang jauh lebih lumayan," katanya.

Katanya, statistik terkini staf akademik UM adalah seramai 1,858 orang dengan 84.1 peratus atau 1,563 orang daripadanya adalah tenaga pengajar tempatan dan 15.9 peratus atau 295 adalah staf antarabangsa.

Tambah Ghauth, UM turut memiliki seramai 466 kakitangan yang sedang melanjutkan pelajaran di peringkat doktor falsafah (PhD) di luar negara yang akan kembali berkhidmat di universiti berkenaan setelah tamat pengajian.

"Ingin saya jelaskan bahawa kesemua staf akademik antarabangsa yang berkhidmat di UM adalah berstatus kontrak.

"Anda juga harus tahu bahawa pengambilan staf akademik antarabangsa adalah selaras dengan saranan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) di mana universiti penyelidikan seperti UM dikehendaki mencapai sekurang-kurangnya 15 peratus staf akademik antarabangsa.

"Jadi apa yang dilakukan oleh UM sekarang ini adalah semata-mata memenuhi kehendak PSPTN," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjelaskan mengenai laporan muka depan sebuah akhbar pada Khamis bahawa UM sedang mengalami krisis kemerosotan ilmuan dan pakar berikut peletakan jawatan 146 staf akademik sejak 2009 seperti yang didedahkan oleh PKAUM.

Malah PKAUM yang memetik Presidennya, Profesor Madya Dr Azmi Sharom sebagai berkata, pada tahun ini sahaja kira-kira 20 staf akademik meletak jawatan atas alasan tidak berpuas hati dengan kepimpinan Ghauth.

Mengulas lanjut, Ghauth berkata, sejak 2009 hingga kini pentadbiran UM melantik seramai 463 staf akademik dengan 111 daripadanya berstatus tetap manakala 352 lagi menerusi lantikan kontrak.

"Jadi dakwaan yang mengatakan UM hadapi krisis ilmuan adalah tidak benar malah untuk makluman, semua staf yang masuk ke UM sekarang ini adalah memenuhi kriteria kualiti dan dengan itu mutu akademik yang masuk semakin meningkat berbanding dahulu," katanya.

Dalam pada itu menjawab kepada persoalan 'kegilaannya' meletakkan universiti tersebut dalam rangking 100 terbaik di dunia, Ghauth berkata perkara berkenaan perlu bagi meletakkan UM setanding dengan universiti lain di peringkat antarabangsa.

Jelasnya, dengan kedudukan rangking yang baik akan memberi reputasi positif kepada Malaysia untuk dikenali sebagai pusat kecemerlangan akademik di dunia.

"Sudah tentu saya tidak gila, sebagai Naib Canselor, saya nak bawa UM ke tahap di mana kita boleh bersaing dengan universiti ternama di dunia dan boleh dikenali sebagai pesaing universiti hebat.

"Saya tak gila rangking, tapi yang penting dengan kedudukan rangking yang baik ia (menjadi) faktor tambahan dan daya tarikan untuk kita mencipta nama," katanya.

Mengulas sama ada pihaknya mahu mengambil tindakan terhadap PKAUM kerana menimbulkan isu tersebut yang boleh disifatkan memalukan pihak universiti, Ghauth berkata beliau tidak akan berbuat demikian.

Sebaliknya beliau menjelas sedia untuk mengadakan pertemuan dengan pihak PKAUM bagi memberi penjelasan mengenai kedudukan sebenar.

"Sebenarnya setiap tiga bulan memang saya akan mengadakan pertemuan dengan PKAUM. Menerusi petemuan itu kami mengadakan perbincangan mengenai banyak isu.

"Tapi (pertemuan) sebelum ini saya tidak pernah diberitahu mengenai isu ini, tapi (lepas ini) kalau mereka nak jumpa saya serah memo, saya gembira untuk bertemu dan jelaskan segalanya," katanya.

iklan

Video

Isnin, 23 Oktober 2017 1:31 PM

Tragedi Tanah Runtuh: Semua Mayat Dijumpai

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Kolumnis

iklan

Iklan