Teraju Bakal Senarai 1,100 Syarikat Bumiputera

Diterbitkan: Jumaat, 19 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata Unit Peneraju Agenda bumiputera (Teraju) akan menyenaraikan 1,100 syarikat bumiputera yang mampu bersaing dan layak disenaraikan di bursa saham.

Menurutnya, sehubungan itu konsep meritokrasi dan prinsip keadilan sosial perlu selari bagi memajukan ekonomi usahawan bumiputera di negara ini.

“Kerajaan akan membantu syarikat-syarikat ini dan ia akan diumumkan dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi,” katanya pada majlis perasmian Konvensyen Memperkasa Model Baru Ekonomi: Satu Jihad Ekonomi bumiputera anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, Jumaat.

Konvensyen selama dua hari itu turut dihadiri oleh Menteri Perdangangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar dan Pengerusi GABEM, Tan Sri Rahim Thamby Chik.

Najib berkata kerajaan akan membantu memberi dana kepada syarikat berkenaan supaya mereka mempunyai kedudukan kewangan yang lebih kukuh pada masa akan datang.

“Jika perolehannya RM100,000 pada tahun ini, dalam tempoh tiga tahun akan datang, ia akan meningkat kepada RM1 juta. Kalau sekarang ini hanya beroperasi di dalam negara, syarikat-syarikat itu nanti akan berkembang ke peringkat antarabangsa.

“Insya-Allah program ini merupakan satu pendekatan baru berdasarkan meritokrasi di kalangan golongan bumiputera...

“Tak ada lagi soal kroni... tidak ada lagi soal siapa kita tahu bukan kawan rakan kita, tapi orang yang benar-benar boleh berjaya, orang itulah yang kita bantu,” katanya.

Beliau berkata perubahan tersebut penting kerana meritokrasi dilihat lebih baik memandangkan kaedah seperti pemberian saham terbitan awam menerusi kuota bumiputera, tidak bertahan lama kerana saham-saham itu akan dijual kembali ke pasaran.

“Saya nak beritahu jangan anda terkejut kerana jika dulu saham yang kita agihkan menerusi IPO, kuota bumiputera bernilai 60 bilion hari ini hanya tinggal 2 bilion sahaja. Kenapa?

“Ini kerana pemegang saham bumiputera ini tidak mampu untuk memegang saham berkenaan. Bila tiba masa harga saham naik mereka jual namun keuntungan tidak tahu ke mana,” katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan memberi jaminan kerajaan akan hanya membantu syarikat-syarikat bumiputera yang terbukti kewibawaannya sahaja.

“Kalau kita nak tolong, kita akan bantu syarikat yang mana pengusahanya rajin dan komited.

“Ini bukan soal siapa mereka... atau siapa mereka kenal tetapi ini soal pengetahuan dan kemahiran yang mereka ada,” katanya.

Oleh itu, Najib berkata kerajaan akan meminta Suruhanjaya Sekuriti mengenal pasti kriteria-kriteria penting yang terdapat daripada syarikat-syarikat yang berpotensi untuk disenaraikan di bursa saham.

Justeru, beliau menggesa usahawan bumiputera mengubah sikap dan bersaing untuk maju dalam bidang perniagaan.

“Apa yang kita mahu ialah orang yang komited dan sanggup berjihad untuk berjaya, maknanya bukan sahaja kerajaan bantu, tetapi semua mesti membantu diri sendiri untuk berjaya,” katanya.

Najib berkata ada antara vendor syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Telekom Malaysia Bhd dan Petroliam Nasional Bhd, yang selesa menjadi vendor dan tidak mahu keluar daripada status berkenaan.

“Sepatutnya, jika mereka telah menjadi syarikat vendor selama lima tahun, mereka sudah berdikari dan memberi peluang kepada syarikat lain untuk menjadi vendor pula.

“Kita perlu lahirkan lebih banyak syarikat bumiputera yang berjaya. Justeru, komitmen kerajaan adalah untuk melahirkan masyarakat yang lebih adil dan saksama,” katanya.

Jelasnya, syarikat bumiputera tidak perlu takut untuk melakukan perubahan kerana mereka perlu bersaing dan melakukan adaptasi untuk berjaya dalam ekonomi yang lebih kompetitif.

“Era globalisasi tidak dapat kita lawan, kita akan berdepan dengan satu tekanan. Maka kita perlu lakukan penyesuaian dalam struktur ekonomi. Kita perlu ambil sikap positif dan ada kerjasama yang konstruktif masyarakat bumiputera akan maju seperti bangsa-bangsa lain,” katanya.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan